Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UiTM dan PLANMalaysia

SHAH ALAM, 20 FEBRUARI 2024 – Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UiTM dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah berlangsung di Bangunan Canseleri UiTM pada 20 Februari 2024. Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM, Prof TPr Dr Jamalunlaili Abdullah dan Ketua Pengarah PLANMalaysia TPr Dr Alias Rameli. Majlis ini turut dihadiri oleh delegasi PLANMalaysia dan pensyarah-pensyarah dari Bidang Perancangan Bandar dan Wilayah, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM.

Peranan PLANMalaysia amat penting di dalam perancangan bandar dan desa kearah kesejahteraan rakyat, perancangan spatial yang komprehensif dan kemakmuran negara. Melalui jalinan kerjasama ini, aktiviti-aktiviti berbentuk akademik dan juga amali di antara pihak UiTM dan PLANMalaysia  dalam aspek penyelidikan dan perundingan khususnya dalam bidang perancangan bandar, pembangunan dan pengurusan bandar, sosio-ekonomi bandar, rekreasi dan pelancongan, perancangan pengangkutan, sistem maklumat geografi (GIS), perancangan komuniti dan kemudahan kemasyarakat serta percambahan idea-idea baru untuk tujuan penyelidikan dalam bidang perancangan dan pembangunan bandar dapat dilaksanakan.

MOU ini merupakan satu manifestasi yang dapat memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama untuk kepentingan bersama di antara pihak universiti dan industri di dalam bidang perancangan bandar sesuai dengan perkembangan pesat dunia teknologi, perancangan dan penyelidikan.