Penguasaan Kimia Organik Melalui Kolaborasi Pembelajaran antara UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi dan UTM Skudai

BUKIT BESI, 6 Julai 2023 – Satu sesi webinar Collaborative Teaching On Organic Chemistry telah dianjurkan oleh Fakulti Sains Gunaan (FSG) UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi dengan kerjasama panel jemputan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai ; Prof. Madya Chm. Dr. Norazah Binti Basar. Dengan mengambil kira perkongsian idea dari bidang kepakaran yang sama iaitu kimia organik, konsep kolaborasi pembelajaran ini dimulai dengan model penyampaian berkenaan kumpulan organik Amines.

Pendekatan model pembelajaran ini bertujuan memberi kefahaman yang lebih baik bagi kursus kimia organik yang sering disinonimkan sebagai killer code dalam teras kimia Justeru itu, sasaran peserta adalah melibatkan para pelajar yang menduduki kursus kimia organik khususnya pelajar FSG bahagian kedua bagi program Diploma Teknologi Higien Industri (AS124) dari UiTM Cawangan Terengganu Kampus Bukit Besi.

Sesi kolaborasi selama 2 jam ini dijalankan secara atas talian bagi membolehkan pengoptimuman sumber dilaksanakan dari segi masa, kos dan keperluan fakulti. Pendekatan kolaborasi ini menggariskan faedah dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna untuk pelajar dari kampus dan universiti yang berbeza serta inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran bagi tenaga pengajar yang terlibat.

Sejumlah 107 pelajar dan 6 staf akademik dari seluruh UiTM dilaporkan hadir yang mana majoriti dihadiri oleh pelajar AS124. Sepanjang sesi ini dijalankan, pelajar dilihat lebih responsif dan bersemangat dalam mempelajari dan membincangkan soalan berkaitan topik tersebut. Maklum balas dan cadangan positif daripada peserta untuk melaksanakan sesi seperti ini pada skala yang lebih besar turut diterima pada akhir sesi. Diharapkan sesi kolaboratif ini memberi impak positif dari segi komunikasi dan perkongsian idea selain memperkasakan pemahaman dalam kimia organik.