Bengkel ‘Laskar Pelangi’ Anak-Anak Istimewa SK Puncak Alam 1 bersama warga Senibina Dalaman

PUNCAK ALAM, 7 Jun 2023 – Pada tanggal 7 Jun 2023 yang lepas, para pensyarah dan pelajar Sarjana Muda Senibina Dalaman (Kepujian) dari Bidang Senibina Dalaman, Pengajian Senibina dan Senibina Dalaman, Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah mendekati warga istimewa anak-anak pendidikan khas di SK Puncak Alam 1 untuk menjalankan program khidmat masyarakat.

Program Seni Kreatif – Laskar Pelangi telah di rancang oleh Pn. Norji Nasir selaku pengarah program bersama warga senibina dalaman untuk menganjurkan bengkel seni yang mana ianya bertujuan untuk memupuk minat dan kesedaran tentang nilai-nilai kesenian di kalangan kanak-kanak istimewa. Bengkel seni ini mendapat kerjasama yang baik dari Guru Besar SK Puncak Alam 1 dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Selangor kerana meluluskan aktiviti ini dijalankan.

Program ini yang telah berjaya dilaksanakan dengan penglibatan 9 orang pelajar tahun akhir Sarjana Muda Senibina Dalaman (Kepujian) dan dibantu oleh 6 orang pensyarah Bidang Senibina Dalaman dari Pengajian Senibina dan Senibina Dalaman dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri, Komuniti & Alumni (ICAN), Kolej Pengajian Alam Bina. Program ini telah disertai oleh 18 orang anak-anak murid istimewa Pendidikan Khas (PKI) yang berumur di antara 8 tahun ke 14 tahun. Sebahagian besar peserta PKI adalah di kalangan yang mempunyai tahap pemahaman dan kecerdasan yang bersesuaian untuk menerima ilmu seni yang di sampaikan.

Program yang berlangsung seawal jam 8.30 pagi dan berakhir sekitar jam 4.30 petang juga telah berjaya menarik minat anak-anak istimewa ini untuk menghasilkan karya seni seperti yang di jadualkan iaitu menggambar dan menghiasi cawan kertas menggunakan warna air yang dibekalkan. Aktiviti yang dijalankan mendapat kerjasama yang baik di antara anak-anak istimewa kerana mereka menunjukkan kesungguhan bersama-sama pelajar dan pensyarah menghasilkan karektor haiwan yang telah di terangkan dipermulaan sesi bengkel. Para pelajar dan pensyarah bekerjasama membantu anak-anak istimewa menyiapkan hasil seni dan bersama-sama mencungkil bakat yang terpendam di kalangan mereka. Mereka juga dididik untuk membentangkan hasil seni yang dibuat dan mengeksperikan hasil seni kitar dengan kreatif kepada para pelajar dan pensyarah. Walaupun wujud kekurangan di dalam penyampaian, mereka tetap menunjukkan sokongan dan kerjasama yang baik untuk melalakukan aktiviti seterusnya. Acara seterusnya berlangsung selepas makan tengahari, untuk membenarkan anak-anak istimewa berehat sebelum aktiviti kedua.

Pada sesi petang, murid-murid diberikan alatan yang bersesuaian bagi membantu mereka meningkatkan kekuatan jari jemari bermain dengan tanah liat – clay. Tenaga pengajar yang terlibat berganding bahu membantu anak-anak istimewa menyiapkan hasil seni menggunakan acuan yang diberikan. Kemudian, anak-anak di ajar untuk menghias papan yang diberikan berdasarkan tema angkasa dan hijauan untuk diilhamkan. Aktiviti yang dijalankan mendapat kerjasama yang baik di antara anak-anak istimewa kerana mereka menunjukkan kesungguhan dan minat yang mendalam. Terpancar kefahaman dan kegembiraan di wajah mereka sepanjang program berlangsung. Mereka berjaya menghasilkan pelbagai rupabentuk dan olahan warna menggunakan peralatan seni yang dibekalkan berpandukan teknik yang diajar.

Secara keseluruhan, program “Bengkel Seni – Laskar Pelangi ini berjaya menarik minat dan kesungguhan di kalangan anak-anak istimewa ini tentang nilai-nilai kesenian menggunakan peralatan seni yang dibekalkan hasil sumbangan yang di taja oleh warga industry dan alumni Kolej Pengajian Alam Bina. Program ini berjaya mencungkil bakat-bakat seni yang terpendam dalam diri anak-anak istimewa selain dapat mendedahkan kepada mereka cabang seni baru yang boleh dijadikan sebagai terapi minda. Penganjuran program ini amat penting sebagai satu usaha menjayakan program khidmat masyarakat ‘University Social Responsibility’ antara pelajar Senibina Dalaman, UiTM Cawangan Selangor, industri dan juga alumni di mana ianya boleh memberi impak ‘Knowledge Transfer Program’ (KTP) kepada komuniti warga istimewa agar tidak dipinggirkan. Ianya juga dapat membuka peluang dan pengalaman yang baru untuk mengembangkan bakat graduan Senibina Dalaman bersama komuniti.