Bengkel ‘Anak Artisan’ SK Puncak Alam 1 bersama warga Senibina Dalaman

PUNCAK ALAM, 8 Jun 2023 – Program Seni Kreatif ‘Anak Artisan’ ini telah dilaksanakan dengan jayanya pada 8 Jun 2023 bertempat di Bengkel Sains SK Puncak Alam 1, Puncak Alam, Selangor. Bengkel seni ini telah disertai oleh 36 orang murid-murid Tahun 4 dari sekolah tersebut. Seramai 10 orang pelajar tahun akhir Bidang Senibina Dalaman dan 3 orang pensyarah Bidang Senibina Dalaman, dari Pengajian Senibina dan Senibina Dalaman telah bekerjasama dengan Bahagian Jaringan Industri, Komuniti & Alumni (ICAN), Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM untuk merealisasikan program khidmat masyarakat bersama komuniti setempat.

Bengkel seni kreatif ini telah dirancang oleh pensyarah Senibina Dalaman, Pn. Norji Nasir selaku pengarah program khidmat masyarakat di mana ianya bertujuan untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan mengenai teknik seni lukisan dalam penghasilan karya seni disamping mencungkil bakal seni yang terpendam di kalangan murid-murid sekolah. Dalam masa yang sama, ia dapat memupuk minat murid dalam mengekspresikan hasil seni sebagai salah satu cabang terapi dalam pengurusan harian. Bengkel Anak Artisan ini mendapat kerjasama menyeluruh dari pihak sekolah terumatanya Tuan Guru Besar SK Puncak Alam 1 dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Selangor kerana meluluskan bengkel ini untuk dilaksanakan selepas cuti sekolah baru-baru ini.

Program yang berlangsung seawal jam 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 4.00 petang juga telah berjaya menarik minat anak-anak murid SK Puncak Alam 1 ini untuk menghasilkan karya seni seperti yang dijadualkan terutama pembuatan terrarium selain daripada seni tanda nama yang diadakan di sebelah pagi. Para pelajar dan pensyarah berganding bahu menerangkan teknik penyediaan seni terrarium melalui beberapa proses meletak dan mengatur bahan-bahan yang diperlukan mengikut nisbah yang tertentu supaya hasilnya membuahkan hasil dan dapat disimpan sebagai hasil tangan yang boleh dimanfaati. Aktiviti yang dijalankan mendapat kerjasama yang baik di antara murid – murid sekolah kerana mereka menunjukkan kesungguhan bersama-sama pelajar menghasilkan seni landskap di dalam bekas kaca yang dibekalkan. Mereka berjaya mengikuti teknik yang diterapkan bagi penghasilan seni terrarium dalam bekas kaca dan berpeluang mengenali bahan-bahan asas yang diperkenalkan.

Secara keseluruhan, program ‘Bengkel Seni – Anak Artisan’ ini berjaya menarik minat dan kesungguhan di kalangan anak-anak murid SK Puncak Alam 1 ini tentang nilai-nilai kesenian menggunakan peralatan seni yang dibekalkan hasil sumbanga yang di taja oleh warga industri dan alumni Bidang Senibina Dalaman, Kolej Pengajian Alam Bina. Bengkel Anak Artisan ini telah berjaya memberikan fokus yang tinggi dikalangan murid-murid dalam menyiapkan seni terrarium yang diajar. Mereka bekerja secara berkumpulan untuk berbincang mengenai proses penanaman tumbuhan di dalam bekas kaca yang diedarkan. Penganjuran program ini amat penting sebagai satu usaha menjayakan program khidmat masyarakat ‘University Social Responsibility’ antara pelajar Senibina Dalaman, UiTM Cawangan Selangor, industri dan juga alumni di mana ianya boleh memberi impak ‘Knowledge Transfer Program’ (KTP) kepada komuniti. Ianya juga dapat membuka peluang dan pengalaman yang baru untuk mengembangkan bakat graduan Senibina Dalaman bersama komuniti. Maklumat lanjut mengenai bengkel seni boleh dirujuk di laman web Home | My Site (anakartisan.wixsite.com)