Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) UiTM Cawangan Pahang bersama Kelab Business Society sesi 2022/2023 telah melaksanakan Program Family Day: Tighten It Up pada 14 Januari 2023 bermula jam 8 pagi sehingga 3.00 petang bertempat di Dewan Titiwangsa, UiTM Raub. Program ini terbuka kepada semua mahasiswa dan pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Program ini dianjurkan bertujuan untuk memupuk semangat daya saing, kesukanan dan kerjasama dalam kalangan mahasiswa. Selain itu, aktiviti ini dapat mengeratkan silaturrahim dan hubungan kekeluargaan antara semua pensyarah dan mahasiswa di FPP. Melalui program ini, mahasiswa dapat mengisi masa bersama-sama meskipun sibuk dengan persiapan bagi menghadapi peperiksaan akhir. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini adalah dirancang bagi menghasilkan satu platform semangat setiakawan dan muhibbah antara mahasiswa. Antara pengisian program ini meliputi aspek aktiviti sukan dan berkumpulan.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Hasnizwati Hashim, Ketua Pusat Pengajian FPP UiTM Pahang. Turut hadir bersama Cik Siti Syamira Mohd Ramli, Penasihat II Kelab Business Society. Anggaran mahasiswa dan pensyarah yang menyertai program adalah seramai 150 orang. Bagi melancarkan program, mahasiswa dan pelajar telah diagihkan mengikut kumpulan masing-masing. Pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti senamrobik santai, explorace dan sukaneka. Program dimeriahkan lagi dengan aktiviti dalam kumpulan yang dijalankan secara spontan pada penghujung program. Semua pemenang dan peserta menerima hadiah berupa hamper daripada pihak penganjur. Secara keseluruhan, program ini dapat dijalankan dengan jayanya melalui bantuan daripada semua pihak. Pihak penganjur berharap program ini memberikan dampak yang baik kepada semua mahasiswa dan memberikan ruang untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mahasiswa dimana kesihatan fizikal dan mental dilihat sebagai perkara penting pada masa kini.
Mahasiswa yang hadir ke program ini telah memberikan maklum balas positif berdasarkan pertanyaan yang disoal ketika program ini berlansung dengan harapan agar program seperti ini dapat dijalankan dengan lebih meriah pada masa akan datang. Ternyata program sebegini juga memberi impak kepada seluruh warga FPP. Sehubungan itu, FPP UiTM Pahang dan Kelab Business Society merancang untuk melakukan aktiviti seumpama ini secara berkala dan lebih menyeluruh agar dapat memupuk dan mengeratkan hubungan mesra antara mahasiswa dan pensyarah di masa hadapan.