Karnival Tahun Baru Cina Pekan Lama Arau

Khamis, 19 Januari 2023 – Mahasiswa dari Persatuan Bahasa Mandarin UiTM Cawangan Perlis telah menyertai Karnival Tahun Baru Cina Pekan Lama Arau yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Tiong Hwa Perlis pada malam tiga hari sebelum Tahun Baru Cina.

Karnival yang berlangsung di Pekan Lama Arau disambut meriah bukan sahaja oleh kaum Cina malah oleh pelbagai kaum seperti Melayu, India, Siam dan lain-lain. Karnival perayaan ini bertujuan untuk memeriahkan lagi penyambutan perayaan dan megeratkan hubungan silaturahim pelbagai kaum sempena meraikan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

10 mahasiswa dari Persatuan Bahasa Mandarin, UiTM Cawangan Perlis telah memeriahkan suasana pada malam tersebut dengan nyanyian lagu bahasa Cina “Gongxi” serta “Tiantian haotian” yang amat menghiburkan penonton. Guru bahasa Cina UiTM Cawangan Perlis, Cik Han Xiaoying dan Cik Tuo Jie turut mempersembahkan tarian Taichi yang dapat menunjukkan estestik budaya Cina.

Penyertaan daripada mahasiswa UiTM Cawangan Perlis kali ini, bukan sahaja dapat menunjukkan bakat pelajar UiTM dalam penguasaan bahasa ketiga malah juga dapat mengeratkan lagi hubungan universiti dengan komuniti tempatan. Selain itu, penyertaan ini juga memberi peluang kapada mahasiswa UiTM untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kepelbagaian budaya melalui pameran dan permainan budaya yang diadakan pada karnival tersebut.