Pengalaman Norma Baharu Mahasiswa UNNES di FKA UiTM Cawangan Pulau Pinang

Dua orang mahasiswa Kejuruteraan Awam dari Universitas Negeri Semarang (UNNES) Indonesia telah tiba di UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh pada 9 Mac, 2020 bagi menjalani Program Mobiliti UiTM di Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) di sini. Ryan Hasnan Harahap dan rakannya, Naufal Hanif akan mengikuti pembelajaran di fakulti selama satu semester.

Namun, pada 18 Mac, 2020, Malaysia telah menjalani Perintah Kawalan Perkerakan (PKP) untuk mengawal penularan wabak COVID-19 yang sedang di alami di peringkat global. UiTM, selaras dengan arahan dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, telah melaksanakan mod pembelajaran secara maya melalui platform rasmi uFuture dan platform lain seperti Google Classroom dan Microsoft Team, yang melibatkan kesemua mahasiswa dan mahasiswi UiTM. Alhamdulillah, kedua-duanya telah menimba pengalaman serta ilmu melalui kelas pembelajaran online menerusi beberapa pensyarah fakulti yang terlibat secara langsung dalam mengajar mahasiswa ini.

Pada 15 Mei, berikutan pihak kerajaan Indonesia tidak membenarkan rakyat mereka di luar negara untuk pulang, kedua-dua mahasiswa ini telah menyambut kedatangan Aidilfitri di Kampus Cawangan Permatang Pauh di kolej yang didiami mereka. Pihak FKA bersama-sama Unit Pengantarabangsaan di bawah Hal Ehwal Akademik UiTMCPP dan bantuan dari pensyarah-pensyarah fakulti telah menginfaqkan lauk pauk, makanan, kuih-muih dan biskut raya kepada dua mahasiswa antarabangsa ini sehingga 31 Mei, 2020.

Setelah hampir tiga bulan 14 hari mereka berada di kampus dalam menimba pengalaman dan pembelajaran, tibalah saat kepulangan mereka kembali ke tanah air pada 23 Jun. Ketua Pusat Pengajian (KPP) FKA, Dr. Hj. Anas Bin Ibrahim serta beberapa pensyarah fakulti hadir bersama-sama Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali dalam mengadakan jamuan perpisahan ringkas kepada Ryan dan Naufal, sebelum pulang.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada KPP serta Ts. Dr. Basharudin Bin Abdul Hadi sebagai pensyarah yang bertanggungjawab kepada mahasiswa ini, dan semua yang terlibat dalam menjayakan program hari pertama sambutan sehinggalah mereka berada di kuliah-kuliah maya serta menjalani kehidupan norma baharu di kampus UiTM Cawangan Pulau Pinang.