Pencapaian Terbaik UiTM dalam QS World University Rankings by Subject 2024

10 April 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) disenaraikan untuk 18 subjek merentasi empat bidang utama dalam QS World University Rankings (WUR) by Subject 2024 yang diumumkan hari ini. Ini merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah UiTM berbanding pencapaian tahun lalu dengan 13 subjek merentasi tiga bidang utama. Pada tahun ini, 1,561 institusi telah disenaraikan merentasi 55 subjek dan lima bidang utama.

Antara pencapaian paling ketara pada tahun ini ialah subjek Fizik dan Astronomi yang disenaraikan buat kali pertama dalam sejarah UiTM dengan berada dalam kedudukan 551-600. Subjek Pendidikan juga berada dalam kedudukan 351-400 sejak kali terakhir disenaraikan pada tiga tahun lalu. Subjek Kimia turut berada dalam kedudukan 551-600 sejak kali terakhir disenaraikan pada tahun 2021. Secara keseluruhannya, pada tahun ini tujuh subjek telah menunjukkan peningkatan iaitu Seni dan Reka Bentuk, Farmasi dan Farmakologi, Kejuruteraan Elektrik, Pengajian Perniagaan dan Pengurusan, Ekonomi dan Ekonometrik, Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan, serta Sains Komputer dan Sistem Maklumat.

Pengurusan Hospitaliti dan Rekreasi pula, terus mengekalkan kedudukannya sebagai subjek terbaik UiTM apabila tersenarai dalam kedudukan 50-100 di dunia. Kejuruteraan Petroleum kekal berada pada kedudukan 150 terbaik dunia bagi empat tahun berturut-turut. Sementara itu, Seni dan Reka Bentuk telah melonjak pada kedudukan 200 terbaik berbanding kedudukan 240 tahun lepas. Antara subjek lain yang disenaraikan ialah Seni Bina/Persekitaran Binaan, Perakaunan dan Kewangan, Undang-undang, Kejuruteraan Kimia, Pertanian dan Perhutanan, serta Perubatan.

Bagi bidang utama, kemasukan Sains Hayat dan Perubatan buat kali pertama dalam penarafan ini telah meningkatkan kedudukan UiTM apabila empat bidang utama disenaraikan berbanding hanya tiga pada tahun lepas. Sains Sosial dan Pengurusan terus menjadi bidang terkuat UiTM dengan mengekalkan kedudukannya pada tangga 361. Manakala, kedudukan bidang Kejuruteraan dan Teknologi meningkat dengan ketara, daripada kedudukan 451-500 pada  ahun lepas kepada 388 pada tahun ini. Bidang Seni dan Kemanusiaan juga bertambah baik daripada kedudukan 451-500 pada tahun lepas kepada 401-450 pada tahun ini.

“Berita ini telah sampai kepada kita pada hari yang istimewa iaitu ketika kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pencapaian ini mencerminkan semangat kebersamaan dan persefahaman dalam kalangan Warga UiTM mengenai hala tuju dan matlamat institusi ini,” ulas Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib, Naib Canselor UiTM. “Saya mengucapkan tahniah kepada semua Warga UiTM atas pencapaian yang membanggakan ini dan selamat Hari Raya Aidilfitri. Semoga pencapaian ini terus menyemarakkan semangat kita semua untuk meneruskan matlamat strategik ke arah menjadi Universiti Terkemuka Dunia menjelang 2025.”