Pencapaian Cemerlang Bagi Pertengahan Tahun Pertama 2021 Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang

Tahun 2021 adalah tahun yang mencabar kerana negara kita masih lagi dilanda pandemik COVID-19. Namun begitu, usaha perlu diteruskan dan ditingkatkan bagi memastikan Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang dapat mencapai Petunjuk Prestasi (PI) yang telah diperuntukkan oleh UiTM. Fakulti telah diberi amanah untuk mencapai sebanyak 51 daripada keseluruhan PI UiTM bagi membantu UiTM Cawangan Pahang khususnya, dalam usaha merealisasikan Pelan Strategik UiTM 2025. 51 PI tersebut adalah KPI yang berkaitan dengan pelajar, aktiviti penyelidikan dan penulisan pensyarah, inovasi, aktiviti kemasyarakat dan sebagainya.

Berkat usaha gigih dari ahli fakulti telah menyumbang kepada kejayaan fakulti mencapai beberapa PI pada separuh tahun pertama tahun 2021. Sekalung tahniah diucapkan kepada pensyarah fakulti iaitu Puan Nurul Afzan Najid, Nur Syafiqah Hussin dan Naqiah Awang di atas kejayaan membantu fakulti memenuhi PI 70 – Number of principal investigators for research grants (national funded), PI 73a – Total amount of research grants (national funded) dan PI 73b – Joint research projects between research universities or non-research universities/private universities/industries/agencies.

Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Puan Nurul Afzan telah berjaya mendapatkan geran daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang berjumlah RM63,600 di mana ia melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM30,000. Kajian yang bertajuk ‘Perkhidmatan Kajian Bekalan dan Pasaran Setempat (Profiling) Daerah Raub dan Kuala Lipis, Pahang akan bermula pada 24 Mei 2021 hingga 12 September 2021. Kumpulan sasaran bagi kajian ini ialah pengeluar/petani yang menghasilkan komoditi, pemasar/peniaga yang menjual komoditi dan pengguna yang membeli komoditi di sekitar daerah Raub dan Kuala Lipis. Objektif kajian ini ialah untuk mendapatkan maklumat mengenai hasil komoditi utama yang dikeluarkan, hasil yang paling banyak dipasarkan dan hasil yang menjadi pilihan ramai pengguna. Kajian ini penting untuk membantu pihak FAMA bagi memastikan kebajikan pengeluar/petani dan pemasar/peniaga terjaga, menjamin hasil komoditi yang dipasarkan seiring dengan keperluan pengguna dan mempunyai bekalan yang mencukupi untuk kegunaan masyarakat setempat.

Pihak fakulti juga mengucapkan tahniah kepada Puan Norlaila Mohd Din kerana berjaya membantu fakulti dalam mencapai PI 86 – Total amount received from external for University Social Responsibilities Program (USR) and Knowledge Transfer Program (KTP). Puan Norlaila telah dilantik sebagai wakil mengagihkan bantuan kepada asnaf zakat di UiTM Pahang sempena program Ziarah Prihatin Ramadhan 2021/1442H dan berjaya mendapatkan dana sebanyak RM1,500. Program ini telah diadakan di Dewan Indera Segara UiTM Cawangan Pahang pada 11 Mei 2021 semasa negeri Pahang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Seramai 22 orang asnaf zakat yang terdiri daripada pekerja bahagian pembersihan telah menerima bantuan tersebut.

Program ini dianjurkan oleh Yayasan Ikram Malaysia Negeri Pahang, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) yang ditubuhkan untuk memberi tumpuan kepada aspek agama, pendidikan, sosial, kebajikan, khairat dan pembangunan manusiawi rakyat Malaysia. Ianya bertujuan untuk membantu keluarga asnaf dan yang kurang berkemampuan sempena bulan Ramadhan yang lalu. Penglibatan Puan Norlaila dalam aktiviti ini membuktikan pensyarah Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang prihatin dengan situasi semasa masyarakat yang menyambut Ramadhan dalam keadaan pandemik Covid-19.

Selain daripada berjaya mencapai PI fakulti, penglibatan pensyarah fakulti dalam aktiviti seumpama ini secara tak langsung dapat mendekatkan fakulti dengan masyarakat dan industri, seterusnya dapat membantu meningkatkan imej fakulti. Semoga dengan kejayaan ini akan menjadi pemangkin dan pembakar semangat kepada warga fakulti yang lain untuk memenuhi PI yang telah diperturunkan oleh UiTM Cawangan Pahang.