Penampilan Istimewa Dato’ Ustaz Kazim Elias bagi Sesi Sembang Santai Ikon Muaddib Fakulti Pendidikan 2021

Program Pencarian Ikon Muaddib Fakulti Pendidikan, anjuran bersama Fakulti Pendidikan, UiTM Puncak Alam & Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam diserikan sekali lagi dengan kehadiran Dato’ Ustaz Kazim Mohd Elias Al Hafiz (Dato’ UKE). Penampilan istimewa Dato’ UKE pada kali ini adalah bagi menjayakan slot sesi sembang santai dengan kesemua 33 peserta Ikon Muaddib, 10 murabbi/mentor yang terlibat serta AJK pelaksana program. Sesi ini juga telah dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) bagi Fakulti Pendidikan, Dr. Zarizi Ab. Rahman dan Timbalan Dekan HEP ACIS, Dr. Hajar bin Opir.

Sesi sembang santai tertutup ini berlangsung pada 28 November 2021, bermula 8.45 malam sehingga 10.00 malam. Sepanjang sesi sembang santai ini Dato’ UKE telah sudi berkongsi pelbagai kisah-kisah dari pengalaman beliau berkecimpung sebagai pendakwah bebas bagi pelbagai program dan golongan masyarakat. Para muaddib/peserta program juga telah diberikan 6 tips utama bagi memantapkan kemahiran sebagai imam dan pemimpin agama masyarakat yang cemerlang. Sesi ini diakhiri dengan slot sesi soal jawab diantara para muaddib dan Dato’ UKE.

Calon ikon muaddib, Muhammad Afnan Haikal Mohd Shamsul Rizal telah bertanya cara bagi menangani gemuruh ketika berhadapan khalayak ramai. Dato’ UKE telah memberikan beberapa tips praktikal bagi mengurangkan perasan gemuruh di khalayak ramai termasuk hadir awal bagi sesuatu acara bagi mengelakkan kekalutan, selidik latar belakang peserta yang terlibat bagi acara yang dihadiri, dan memulakan majlis dengan bacaan Al Fatihah atau selawat ke atas nabi sebagai kaedah menenangkan perasan gemuruh.

Semoga sesi sembang santai dan perkongsian bersama Dato’ UKE dapat menyuntik semangat dan keyakinan bagi para muaddib untuk melengkapkan sesi latihan bersama para murabbi dan bagi persiapan akhir penilaian Ikon Muaddib yang akan berlangsung pada minggu ke sembilan semester ini.