PEMINDAHAN ILMU DAN KHIDMAT MASYARAKAT BERSTRUKTUR MELALUI AKTIVITI “INTERNATIONAL COMMUNITY SERVICE RESPONSIBILITY (I-CSR)” PELAJAR DI AUSTRALIA

Pada 20 Ogos 2023 telah diadakan program pemantapan aktiviti I-CSR pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) bersama agensi luar iaitu Qaswa House, Perth, Australia. Program ini bertujuan untuk mewujudkan platform untuk pemindahan ilmu kepada masyarakat secara teori dan praktikal. Selain itu program ini juga dapat mendedahkan pelajar kepada aktiviti khidmat masyarakat berstruktur di peringkat antarabangsa. Program ini juga dapat memperluaskan aspek pembelajaran yang diperoleh secara teori di dalam bilik darjah dengan mengaplikasikan secara praktikal bersama komuniti tempatan dan komuniti dari negara lain seperti Australia. Program ini juga dapat membentuk dan mengasah kemahiran insaniah setiap pelajar yang dapat melahirkan graduan yang holistik.

Program ini telah disertai oleh 50 orang peserta daripada semua peringkat umur. Ia melibatkan pelajar dari sekolah, komuniti, sukarelawan dan ibu bapa di sekitar Perth Australia. Program ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu pada sebelah pagi dan petang. Pada sebelah pagi, beberapa aktiviti telah dijalankan seperti berkebun, pembersihan kawasan sekitar dan pembiakan tumbuhan manakala pada sebelah petang, demonstrasi minyak pati dan pembuatan produk akhir iaitu sabun tangan dan lilin wangi telah dijalankan. Dengan adanya program ini, pemindahan ilmu dapat diaplikasikan dalam kehidupan dan diamalkan oleh masyarakat untuk mengekalkan penjagaan alam sekitar dan menjana pendapatan komuniti.

I-CSR ini juga sebagai platform untuk pelajar berkongsi dan memindahkan pengetahuan tentang berkebun seperti penanaman tanaman herba/berbunga dan perkongsian tentang pembuatan minyak pati dengan komuniti secara teori dan praktikal. Ia juga untuk menggalakkan pelajar dalam aktiviti khidmat masyarakat serta membantu masyarakat lebih peka tentang kepentingan alam sekitar. Secara keseluruhannya, program ini telah dilaksanakan dengan jayanya dengan kerjasama pensyarah, pelajar dan komuniti Australia.