Lawatan UiTM Perak ke Pusat Penyelidikan & Kecemerlangan Marin (MAREC), Pulau Tuba, Langkawi

PULAU TUBA, 16 Oktober 2023 – Pada 14 hingga 15 Oktober 2023, delegasi daripada Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak telah mengadakan sesi lawatan tapak di Pulau Tuba, Langkawi. Secara khususnya lawatan tapak pada kali ini tertumpu di Pusat Penyelidikan & Kecemerlangan Marin (MAREC). Pada fasa pertama program kerjasama dengan Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (PJIM&A) UiTM Cawangan Perlis ini, seramai 12 orang pensyarah daripada Kolej Pengajian Kreatif (KPSK) dan Kolej Pengajian Alam Bina (KAB) UiTM Perak, serta 3 orang pelajar telah terlibat dalam program lawatan pada kali ini iaitu Prof. Madya. Dr. Muhamad Abdul Aziz Ab Gani (Timbalan Rektor Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni UiTM Perak), Prof. Madya. Sr. Dr. Asmalia Che Ahmad, Dr. Irwan Mohammad Ali, Dr. Mohd Khairulnizam Ramlie, Dr. Aznan Omar, Dr. Wan Samsul Zamani Wan Hamdan, En. Ashraf Abdul Rahaman, Dr. Dzulkarnaen Ismail, Dr. Mohd Najib Abd Rashid, Puan Siti Hajar Maizan, Puan Nurul Shima Taharuddin, En. Muh Sarip Abd Rahman, dan pelajar Mohamed Basyir Mohamed Salleh, Muhammad Faheem Hafiz Adnan, Muhammad Faris Hidayat Muhamad Rizal.

Objektif utama lawatan ini di adakan adalah sebagai perancangan awal dan mengenal pasti kawasan untuk menjalankan ‘Program Khidmat Masyarakat: Menaiktaraf Hiasan Dalaman dan Luaran Melalui Penghasilan Mural Di Pusat Penyelidikan & Kecemerlangan Maritim, Pulau Tuba, Langkawi’ yang dijangka berlangsung pada Disember 2023 nanti. Fasa pertama lawatan tapak ini sangat penting untuk dijalankan bagi memastikan perancangan dapat dilakukan dengan teliti. Perkara ini termasuklah mengenal pasti kaedah pengangkutan yang sesuai, mengenal pasti kawasan tapak kerja aktiviti, merancang penggunaan material terutama bagi aktiviti menaiktaraf keindahan landskap dan mural, dan sebagainya. Program ini secara langsung mendedahkan serta mendekatkan para akademik dengan masyarakat melalui program khidmat masyarakat yang menjurus kepada kepakaran tertentu. Selain itu, program ini juga secara langsung melibatkan pelajar Persatuan QASIRA yang terdiri dari gabungan pelajar dari 5 Jabatan dari Kolej Pengajian Kreatif UiTM Perak.

Program ini juga mampu melatih serta membekalkan pelajar dengan nilai-nilai profesional seperti sikap, disiplin, kemahiran serta kemampuan mengharungi cabaran semasa dalam dunia pekerjaan. Sehubungan dengan ini, antara aspek yang perlu dikuasai oleh pelajar termasuklah kemampuan mengurus sesuatu projek di samping menentukan strategi yang terbaik bagi projek tersebut, keupayaan bekerja dalam kumpulan, keupayaan dalam membuat keputusan serta mampu memberi penerangan dengan baik di hadapan orang ramai.

Fasa pertama lawatan tapak ini diharapkan membantu dari segi perancangan secara keseluruhan pada hari program. Program yang dirancang ini juga diharap mampu memberi implikasi yang hebat terhadap penggunaan Pusat Penyelidikan & Maritim Pulau Tuba Langkawi. Daripada pihak Ahli Jawatankuasa penganjuran program juga amat berterima kasih atas kelulusan dana yang telah disediakan oleh Pejabat Timbalan Rektor PJI UiTM Perak.