DIABETES DIKUASAI, BEBAS KOMPLIKASI

SHAH ALAM, 15 Oktober 2023 – 48 orang pelajar perubatan tahun 4 daripada Fakulti Perubatan UiTM di bawah seliaan beberapa pensyarah daripada Jabatan Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan UiTM telah menganjurkan karnival kesihatan yang melibatkan masyarakat komuniti di MBSA yang dilakukan berdasarkan hasil dapatan kajian “Community Profiling” dan penyelidikan yang dijalankan di kawasan Seksyen 28, Shah Alam. Karnival kesihatan ini dilangsungkan untuk aktiviti promosi kesihatan di peringkat komuniti agar masyarakat menjadi lebih cakna dan berpengetahuan untuk menjaga kesihatan diri untuk mengurangkan risiko penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti Diabetes Mellitus.

Sebelum mengadakan karnival kesihatan ini, pelajar perubatan tahun 4, Fakulti Perubatan UiTM telah menemu ramah penduduk di kawasan Flat Taman Alam Megah, Seksyen 28, Shah Alam untuk mendapat maklumat yang lebih lanjut mengenai masalah kesihatan yang ditangani oleh penduduk di kawasan tersebut. Penduduk di situ sangat mengalu-alukan para pelajar dan memberi kerjasama yang baik dalam memberikan maklumat yang penting bakepada pelajar-pelajar perubatan muntuk merungkai masalah kesihatan di kalangan penduduk di situ.

Terdapat pelbagai program menarik yang telah dilakukan. Antaranya, program zumba yang dapat membantu memperbaiki sistem kardiovaskular badan. Selain itu, terdapat juga forum di mana pakar Perubatan Endokrinologi, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pegawai Pemakan & Dietetik telah dijemput untuk menerangkan dengan lebih meluas penyakit Diabetes Mellitus. Terdapat juga booth kesihatan di mana orang awam boleh melakukan pemeriksaan kesihatan seperti mendapatkan bacaan gula didalam darah dan bacaan tekanan darah. Selepas itu, para hadirin boleh mendapatkan konsultasi perubatan daripada doktor yang telah dijemput.

Pihak penganjur berharap agar masyarakat komuniti MBSA dapat meningkatkan kualiti kesihatan secara menyeluruh. Masyarakat juga digalakkan mengamalkan gaya hidup sihat agar dapat mencegah diri daripada penyakit kronik tidak berjangkit iaitu Diabetes melitus, Hipertensi dan Dislipidemia di mana mempunyai insiden yang tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia.