Pemerkasaan Budaya Menulis melalui Bengkel Hand In Hand Initiative JABT Unite 2024 (HIHI 2024) anjuran Kolej Pengajian Alam Bina

SERI ISKANDAR, 23 Februari 2024– Bengkel Hand In Hand Initiative JABT Unite 2024 (HIHI 2024) telah berlangsung selama dua (2) hari iaitu pada 22 Februari dan 23 Februari 2024 di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Bengkel ini adalah usahasama Kolej Pengajian Alam Bina serta Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (PJIMA) yang dipengerusikan oleh Prof. Madya Sr Dr. Asmalia Che Ahmad selaku Koordinator Unit Pengurusan Penyelidikan UiTM Cawangan Perak serta Dr Asniza Hamimi Abdul Tharim selaku pengerusi bersama. Bengkel yang telah memasuki tahun kedua perlaksanaan ini telah disasarkan kepada pensyarah daripada Kolej Pengajian Alam Bina yang terdiri daripada 217 orang pensyarah bagi Program Ukur Bahan, Pengurusan Hartanah, Bangunan, Senibina, Senibina Dalaman, Senibina Lanskap serta Program Perancangan Bandar dan Wilayah.

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk membimbing peserta bagi menyiapkan penulisan artikel yang berkualiti serta mengatasi beberapa cabaran yang terpaksa dilalui oleh para pensyarah dalam dunia penulisan dan penerbitan. Bengkel kali ini ditambahbaik dengan memberikan pendedahan kepada peserta kepada penggunaan bantuan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligent – AI) di dalam proses penyiapan artikel melalui slot How to Use ChatGPT, Quillbot and Grammarly to Have the Best Writing Workflow. Slot tersebut telah dikendalikan oleh Sr Dr. Irwan Bin Mohammad Ali pada hari pertama bengkel.

Pada hari kedua, bengkel ini dimulai dengan taklimat promosi program oleh PIC (Person In Charge) 2nd International Conference on Green and Safe Cities (I-eGRESAFE), International Virtual Undergraduates Competition on Technological Innovation (IUGeT 2024) dan 2024 International Conference on Sustainable Environment, Development, and Energy (CONSER 2024). Promosi ini bertujuan untuk mewar-warkan kepada peserta beberapa persidangan yang boleh dihantar untuk penerbitan pada tahun 2024 dan tahun 2025. Walaubagaimanapun peserta mempunyai pilihan untuk menghantar ke pihak penerbitan atau persidangan lain.

Seterusnya, bengkel dimanfaatkan dengan sesi perkongsian bertajuk Indexed Journals: Manuscript Styles in Scholarly Journal Writing oleh Prof. Madya Sr Dr. Natasha Khalil. Beliau berkongsi tip jenis-jenis penulisan manuskrip yang boleh dihantar ke jurnal berindeks seperti artikel konsep, artikel review atau artikel kajian. Lebih menarik lagi, beliau menyarankan peserta membaca dan menyemak beberapa artikel mengikut jenis penulisan sebelum memulakan penulisan. Perkara ini ditekankan agar peserta didedahkan dengan stail penulisan mengikut jenis penulisan manuskrip sebelum dihantar ke jurnal pilihan. Perkongsian beliau juga turut merangkumi struktur manuskrip untuk penulisan jurnal.

Sepanjang dua hari bengkel, aktiviti hands-on juga turut dijalankan pada sebelah petang. Seramai dua puluh (20) fasilitator terdiri daripada pensyarah berkelulusan PhD membantu peserta serta memberikan bimbingan sepanjang aktiviti berlangsung. Aktiviti ini memberikan peluang untuk peserta menulis serta hands-on kepada maklumat serta info yang disampaikan oleh kesemua penceramah. Ia juga menggalakkan networking sesama peserta dari pelbagai program di dalam Kolej Pengajian Alam Bina.

Kesimpulannya, bengkel HIHI 2024 ini dianjurkan sebagai salah satu sokongan kepada para pensyarah bagi memenuhi sasaran KPI yang telah ditetapkan oleh UiTM umumnya. Di dalam dunia kompetitif, ramai para pensyarah menghadapi pelbagai cabaran bagi mencapai sasaran KPI UiTM. Oleh yang demikian, bengkel HIHI 2024 ini menggunakan pendekatan holistik dalam penulisan dan penerbitan. Ia bukan sahaja memberi tumpuan kepada kemahiran menulis tetapi juga menyediakan panduan untuk mengemudi landskap penerbitan. Selain itu, peserta yang terlibat dapat bertukar-tukar idea dan pandangan, berkongsi pengalaman serta mendorong rakan-rakan untuk bersama-sama menulis. Sekaligus berfungsi memperkasakan budaya menulis di kalangan para pensyarah.

Bengkel ini diterajui oleh empat belas (14) ahli jawatan kuasa iaitu Prof. Madya Sr Dr. Asmalia Che Ahmad, Dr. Asniza Hamimi Abdul Tharim, Ts. Dr. Wan Norizan Wan Ismail, Sr Dr. Farhan Md Dahlan, Dr Nor Atiqah Mustapa, Norazlin Mat Salleh, Dr. Nor Syamimi Samsudin, Ts. Dr. Dzulkarnaen Ismail, En Mohammad Syathir Amini Shahbudin, En Abdul Hamid Mohamed, En Mohd Shahrizan Mohd Said, Encik Azrul Bahaluddin, Ts. Dr. Norsyazwana Jenuwa dan Jannatun Naemah Ismam. Kesemua ahli jawatankuasa terdiri daripada para pensyarah daripada Kolej Pengajian Alam Bina manakala Ts. Dr. Wan Norizan Wan Ismail selaku pengarah program.

Laporan disediakan oleh: Sr Dr. Farhan binti Md Dahlan, Ts. Dr. Wan Norizan Wan Ismail, Dr. Asniza Hamimi Abdul Tharim