PEMERINTAHAN MONARKI DI TIMUR TENGAH

SHAH ALAM, 13 Oktober 2023 – Timur Tengah sebuah kawasan kebanyakannya diliputi padang pasir. Sejarah Timur Tengah amat signifikan dengan sejarah dunia. Sejarahnya amatlah panjang dan jika kita menceritakan sirah para Anbiya, sudah pasti tidak lengkap menceritakannya jika kita tidak menyebut kawasan tersebut. Ditambah pula kedudukan kiblat umat Islam (Kaabah) berada di sana (Mekah, Saudi Arabia). Secara zahirnya Timur Tengah sebuah benua yang telah dihuni seawal permulaan peradaban dunia sehingga sekarang. Timur Tengah kini mempunyai beberapa buah negara majoriti Arab Muslim, antaranya ialah negara Arab Saudi, Iraq, Iran, Jordan, Syria, Palestin, Mesir dan lain-lain negara. Sebilangan besar negara Arab di Timur Tengah dahulunya mempunyai Raja monarki, tetapi sejarah telah berlalu dan menyebabkan hanya beberapa sahaja negara Arab masih mempertahankan amalan monarki.

Seperti biasa Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA tidak akan terlepas daripada menjemput panel yang arif untuk berkongsi mengenai pemerintahan monarki di Timur Tengah. Cumanya untuk sesi ini kita hanya memfokuskan sistem pemerintahan monarki kerajaan Islam sahaja. Panel jemputan bagi siri ke-15 Bicara Akademia Kursi Institusi Raja-Raja Melayu iaitu Dr. Muhamad Zuhaili Bin Saiman, merupakan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA Shah Alam. Seperti mana sebelum ini, program Bicara Akademia berlangsung selama satu jam tiga puluh minit (10.00 pagi hingga 11.30 pagi).

Menurut Dr. Zuhaili, pemerintahan Islam di Timur Tengah amat panjang sekali kisahnya, bermula selepas kewafatan Rasulullah S.A.W sehingga kewujudan empayar dinasti Turki Uthmaniyah. Wujudnya fasa-fasa pemerintahan yang dilihat oleh para pengkaji sejarah bermula dari baginda Rasulullah S.A.W dan diganti pula dengan pemerintahan para sahabat baginda yang digelar zaman pemerintahan Khalifah ar-Rasyidin (zaman terbaik Islam) yang di sandang oleh sahabat yang dijanjikan syurga iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Thalib selama 30 tahun, dan selepas itu bermulanya fasa pemerintahan dinasti di mana kepimpinannya diwarisi oleh ahli keluarga. Fasa pemerintahan menggunakan sistem pewarisan dimulai oleh kerajaan Umayyah (661M hingga 750M) dan berikutnya kerajaan Abbasiyyah (750M hingga 1258M) dan seterusnya diganti dengan kerajaan Turki Uthmaniyah (1289M hingga 1924M). Kini, kerajaan Arab Timur Tengah telah melaksanakan pemerintahan yang berbeza dari zaman yang dinyatakan tadi. Ada yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja (antaranya Arab Saudi dan Jordan), dan Republik (antaranya Mesir dan Iraq).

Tidak dapat dinafikan semasa era pemerintahan monarki Islam, agama Islam lebih tersebar luas lebih dua pertiga dunia. Kegemilangan kerajaan Islam dari sudut keilmuan, ekonomi, perdagangan dan lain-lain tidak lari dari sumbangan kebijakan pemerintah sendiri. Menurut Dr. Zuhaili, al-Malik (pemerintah) sudah pasti membantu dalam mengembangkannya. Mengambil contoh pada zaman Abbasiyyah dimana pendakwah-pendakwah mendapat dana dari kerajaan untuk mengembangkan lagi ilmu-ilmu seperti fardhu ain. Penaklukan yang dilaksanakan oleh pemerintah turut memberi sumbangan yang agak besar dalam melebarkan syiar Islam seperti contoh apabila Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menakluk Kota Konstantinopel (kini Istanbul), Islam telah tersebar luas di benua Eropah.

Akhir sekali, sesiapa yang memegang tampuk kepimpinan hendaklah memiliki sifat tauhid, sebagai hamba Allah dan kuasa yang dimiliki itu hanyalah amanah dari Allah S.W.T jika dilaksanakan dengan baik atau optimum maka manfaat yang lagi besar boleh diperoleh. Seperti mana hadis Nabi Muhammad S.A.W yang menyatakan tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di hari kiamat yang pertama adalah pemimpin yang adil. Sebagai seorang pemimpin hendaklah meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T untuk mendapat kebaikan di akhirat kelak yang lebih kekal abadi, Wallahu a’alam.