Seminar Hygrowpot: Lestarikan Ruang Pejabat Melalui Tanaman Hidroponik

TAPAH, 17 Oktober 2023 – Bertarikh 13 Oktober 2023, Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah menjalankan Seminar Penyediaan Hygrowpot Bersama Jabatan Pertanian Daerah Batang Padang, Perak. Seminar ini bertujuan untuk menerapkan elemen kelestarian di mana ianya boleh menjimatkan penggunaan air serta memantapkan projek kitar semula dengan menggunakan semula hygrowpot sedia ada bagi penanaman pokok berikutnya. Melalui seminar ini, para peserta mendapat keterangan tentang kepentingan Hygrowpot dalam usaha membantu kempen gerakan kampus hijau. Para peserta juga mengetahui teknik yang betul dalam pemasangan dan penggunaan sistem tanaman Hygrowpot daripada Jabatan Pertanian. Objektif utama seminar ini adalah ingin menjadikan bangunan UiTM Perak sebagai sebuah kampus hijau yang menerapkan elemen-elemen hijau di kalangan warga kampus.

Seramai 44 peserta berdaftar terdiri staf UiTM telah menyertai seminar ini. Antara PTJ yang terlibat adalah dari Fakulti Undang-Undang, Fakulti Perakaunan, Fakulti Sains Gunaan, Akademik Pengajian Bahasa, ACIS, KKPIM, Hal Ehwal Pelajar, Hal Ehwal Akademik, Pejabat Bendahari dan Polis Bantuan.

Program ini bermula pada jam 9.00 pagi dengan ucapan aluan dan perasmian oleh pengarah program iaitu Puan Yanti Binti Yaacob. Seminar diteruskan oleh sesi taklimat secara teori mengenai pengenalan sistem hidroponik dan hygrowpot oleh Penolong Pewagai Pertanian Daerah Batang Padang iaitu Encik Shahrul Gammal Bin Zamri. Dalam sesi teori ini beliau menerangkan tentang teknik-teknik hidroponik seperti Nutrient Film Technique, Deep Flow technique, Deep Static Aerated Technique, Wick Technique, Aeroponic Technique dan beberapa teknik lain. Selain itu beliau juga menerangkan tentang kebaikan sistem hidroponik seperti ia nya merupakan sistem kawalan nutrient, mudah terkawal dan bersih. Sistem ini juga dapat mengurangkan masalah rumpai dan meningkatkan kualiti hasil tanaman serta mengurangkan penggunaan racun.

Pada pukul 10.15 pagi sesi demontrasi pemasangan hygrowpot telah dilakukan. Semua peserta memberi sepenuh perhatian semasa demontrasi ini dilakukan. Semasa sesi demontratrsi, Encik Shahrul menunjukkan cara yang betul untuk memasang set hygrowpot tersebut di mana peserta perlu basahkan span sumbu dalam pasu medium dan selepas itu basahkan medium tanaman kemudian isi di dalam pasu dan masukkan pasu medium ke piring hitam. Seterusnya isi bancuhan air baja ke dalam pasu takung dan akhir sekali boleh menyemai benih atau memindahkan anak pokok ke dalam pasu hygrowpot. Sesi demontrasi berakhir pada pukul 12.00 tengah hari. Sebelum sesi seminar berakhir pada pukul 12.30 tengah hari, penyampaian cenderahati dari pihak Kampus Hijau UiTM telah diserahkan kepada pihak Jabatan Pertanian Daerah Batang Padang. Sesi fotografi sebagai kenangan juga dilaksanakan sebelum agihan set hygrowpot diberikan kepada setiap peserta yang mendaftar.

Sebagai konklusinya, hasil seminar ini mampu memberi impak dan ilmu yang baik serta menggalakkan peserta dari setiap PTJ ini mengamalkan amalan hijau dan sekaligus dapat melestarikan UiTM Kampus Tapah ini.