Pembentangan Takwin Sesi Mac-Ogos 2022 Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kompleks Tok Gajah

Pada 18 Mac 2022, organisasi Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka iaitu JPK Kompleks Tok Gajah (KTG) sesi 2021/2022 telah mengadakan pembentangan takwim aktiviti untuk semester Mac-Ogos 2022. Pembentangan rasmi ini telah dibuat secara maya di aplikasi Google Meet.  Turut dihadiri  Ketua Staff Residen Kolej (KSRK) Puan Norhaslinda binti Arun, Penasihat JPK (KTG) Cik Azidatul Anis binti Aziz dan juga barisan Staff Residen Kolej (SRK) KTG.

Pembentangan tersebut telah dijalankan bertujuan untuk membincangkan perancangan awal dan penetapan penasihat untuk setiap program yang dirangka. Melalui perbincangan yang dijalankan, barisan JPK dapat mengambil maklum mengenai sebarang penambahbaikan dan dapat menitik beratkan setiap pendapat serta cadangan yang diutarakan oleh para SRK dan penasihat JPK bagi menambah baik setiap perancangan program. Secara tidak langsung penglibatan SRK turut dilihat amat penting bagi membantu dalam pembangunan program dan aktiviti pelajar.

Sejumlah sembilan program utama telah dirancang untuk sepanjang tempoh semester Mac-Ogos 2022 dikemukakan semasa pembentangan ini. Selain daripada menentukan penasihat program, isu lain yang turut diperbincangkan adalah mengenai penetapan PI, SDG, tarikh pelaksanaan, tentatif program, belanjawan, gerak kerja, SOP dan pelaporan maklum balas selepas program dijalankan. Hal ini dapat membuka mata dan minda setiap pengarah program untuk meneliti semula setiap perancangan gerak kerja dengan lebih bijak agar dapat menghasilkan program yang berimpak.

Dengan terlaksananya pembentangan takwim ini, diharapkan program yang bakal dijalankan akan lebih teratur dan lancar.