Peluang Kerjasama antara UiTM dan Rusia

Ts. Dr. Judith Gisip, pensyarah kanan di Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam telah menerima jemputan daripada Pusat Sains & Kebudayaan Rusia di Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Duta Besar Rusia ke Malaysia, TYT Naiyl M. Latypov. Sebuah penulisan oleh Dr. Judith di akhbar tempatan baru-baru ini mengenai tradisi dan kebudayaan Rusia semasa bertugas sebagai sukarelawan antarabangsa di 45th WorldSkills Competition di Kazan, Rusia pada bulan Ogos 2019 telah menarik perhatian TYT untuk mendengar sendiri pengalaman menarik yang diperolehi.

Pertemuan tersebut telah diadakan di Kedutaan Besar Rusia di Malaysia pada 19 Ogos 2020 dimana TYT telah menzahirkan penghargaan di atas inisiatif penulisan tersebut yang dilihat mampu meningkatkan kefahaman masyarakat Malaysia mengenai keunikan Rusia. Turut hadir adalah Dr. Ayrat Ahkmetov, Pengarah Pusat Sains & Kebudayaan Rusia di Kuala Lumpur yang juga merupakan Penasihat Pendidikan dan Kebudayaan di Kedutaan Besar Rusia di Malaysia.

Dr. Judith berpeluang mengutarakan cadangan kolaborasi antara pihak UiTM dan Rusia seperti pembangunan dan penyelidikan dengan universiti di Rusia, mobiliti pelajar dan staf serta aktiviti akademik dan kebudayaan. Cadangan tersebut telah disambut baik oleh TYT dan pihak kedutaan amat berharap agar perbincangan lanjut dapat dijalankan dengan pihak UiTM demi meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Rusia.