Pelajar Jana Jualan Lima Angka Menerusi Program Keusahawanan FSKM

Muhammad Indra Nashrullah Dwi Indratino mula berniaga pada tahun 2015 secara suka-suka. Beliau yang merupakan bekas pelajar Diploma Sains Aktuari, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tapah, Perak  menjual baju, air mineral, roti, burger dan nasi bujang di kolej kediaman beliau, Kolej Gamma.

Beliau mula berniaga dengan cara yang mudah. Bagi penjualan air mineral dan roti, beliau menjual dengan hanya meletakkannya di atas sebuah kerusi serta kotak duit di hadapan pintu masuk Kolej Gamma. Beliau juga mengambil kesempatan untuk menjual burger dan nasi bujang dari bilik ke bilik di kolejnya.

Apabila beliau menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari, FSKM, UiTM, Shah Alam, Selangor, beliau mula mengambil serius terhadap perniagaannya. Beliau mula meneroka aktiviti-aktiviti pelajar yang berkaitan dengan ilmu perniagaan di fakultinya.  Program Keusahawanan pertama yang diikuti olehnya adalah Program Challenge: FSKM Entrepreneurial Warrior (C-FEW). Program ini mendedahkan pelajar untuk menghasilkan dan menjual satu produk yang diperlukan di pasaran. Program ini mensasarkan peserta perlu mendapatkan hasil jualan sebanyak RM1,000.00 ke atas selama tiga bulan yang berturut-turut dibawah bimbingan oleh seorang mentor.

Dengan mengikuti program ini,  Indra berniaga nasi berlauk bagi waktu tengahari dan malam di FSKM, kolej kediaman pelajar di UiTM serta sekitar Shah Alam. Minat dan kesungguhan Indra terhadap perniagaan membolehkan beliau dapat mencapai sasaran Program C-FEW dan berjaya mendaftar syarikatnya, Indra Food Entreprise di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Beliau tidak berhenti setakat itu sahaja. Beliau juga mengikuti program MASMED, UiTM iaitu Graduate Accelerator Entrepreneurship Lab 2.0 (GRACELAB 2.0) dan telah berjaya mendapatkan geran perniagaan sebanyak RM 500.00 daripada MASMED.

Apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan pada bulan Mac 2020, beliau mengambil kesempatan ini untuk mengembangkan perniagaan beliau bukan sahaja di sekitar Shah Alam malah di sekitar Puncak Alam. Beliau turut juga menjual jeruk ketagih dan kek mantap  di mana hasil jualannya melebihi RM 20,000.00 sebulan.

Jika anda yang berada di sekitar Shah Alam ataupun Puncak Alam yang ingin menempah makanan dengan Indra Food Entreprise anda bolehlah mengikuti beliau di:

Instagram: https://www.instagram.com/indra.food/

Facebook: https://www.facebook.com/pages/category/Food—Beverage/Indra-Food-118936212843374/

Indra Food Entreprise juga sedang mencari agen jika anda ingin mencari sedikit pendapatan sampingan.