E-Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) Antara Uitm Dan Ancom Crop Sdn Bhd, Kismec Dan Little Hiccups

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tiga (3) organisasi hari ini iaitu ANCOM Crop Care Sdn Bhd, Kedah Industrial Skills & Management Development Centre (KISMEC) & Little Hiccups yang bersiaran secara live melalui aplikasi Facebook Live Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Dr Hj Khudzir Bin Hj Ismail dalam ucapan aluan Majlis menyatakan bahawa antara objektif utama MoU antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama ketiga-tiga organisasi ini adalah untuk melestari dan memperhebatkan lagi jalinan kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya pendidikan yang bakal melibatkan kerjasama penyelidikan, latihan, pertukaran staf, program mobiliti pelajar dan penekanan kepakaran advokasi yang bakal melibatkan pensyarah- pensyarah, staf pentadbiran serta pelajar-pelajar UiTM.

Selain itu, Prof. Dr Hj Khudzir berpendirian bahawa MoU yang ditandatangani ini akan menjadi penggalak dan pendorong untuk meningkatkan kerjasama Bersama tiga (3) organisasi ini dimasa akan datang. UiTM melihat hubungan kerjasama ini adalah pemula bagi perkongsian strategik yang lebih komprehensif di masa depan. Melalui MoU yang ditandatangani pada hari ini, UiTM dan tiga (3) organisasi ini akan terus melihat kepada peluang-peluang yang boleh diterokai dan direalisasikan dengan optimum.

Sebagai tambahan, skop kerjasama yang menyeluruh ini bukan sahaja bakal memberi impak yang positif dalam melahirkan graduan yang menepati kehendak pasaran kerja (employability) tetapi dalam masa yang sama, melalui MoU yang ditandatangani pada hari ini akan terus mengeratkan hubungan di antara ahli-ahli akademik dan pentadbiran dengan ketiga -tiga organisasi ini.

Dengan termeterainya memorandum ini, UiTM dan tiga (3) organisasi ini akan saling membantu dan berkongsi ilmu dalam menjayakan program-program yang dikenalpasti bagi meningkatkan kecemerlangan dan membanggakan bagi kedua-dua institusi di masa akan datang. Besar harapan agar pengisian MoU ini akan berjaya mencapai objektifnya dan demi kebaikan bersama.

Sesi menandatangani MoU ini dimulakan dengan Rektor UiTM Cawangan Perlis, Professor Dr Haji Khudzir Bin Haji Ismail dan diikuti oleh Ketua Pegawai Operasi ANCOM Crop Care Sdn Bhd, Encik Anthony Tan Swee Hock. Sesi menandatangani MoU ini diteruskan lagi dengan Kedah Industrial Skills & Management Development Centre (KISMEC) yang dimulakan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, Professor Dr Haji Khudzir Bin Haji Ismail dan diikuti oleh Encik Mohd Yusuri Yusof, Pengarah Eksekutif Kedah Industrial Skills and Management Development Centre (KISMEC). Seterusnya diikuti dengan sesi menandatangani MoU bersama Little Hiccups yang dimulakan dengan Rektor UiTM Cawangan Perlis, Professor Dr Haji Khudzir Bin Haji Ismail dan Encik Shahrin Saad,  Pengasas dan juga Pengerusi Little Hiccups.

Majlis ini turut disaksikan oleh barisan Pengurusan Eksekutif UiTM Cawangan Perlis serta Pengurusan Tertinggi ketiga- tiga organisasi.

Pada penghujung Majlis, sesi bergambar telah diadakan untuk simpanan dan kenangan dan 1 sesi bual santai telah diadakan bersama tiga (3) organisasi ini dalam membincangkan kerjasama yang bakal dijalankan.