PEERS 2023 MENYUMBANG KEPADA PENERBITAN JURNAL KPPIM

BANDAR ENSTEK, 11 September 2023 – Program Simposium Penyelidikan Lepasan Ijazah (PEERS) telah diperkenalkan di peringkat Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) bermula pada tahun 2022. PEERS menjadi platform utama untuk memberi peluang kepada siswazah program sarjana kerja kursus program pengkomputeran untuk berkongsi ilmu dan membentangkan idea hasil projek dan prototaip mereka kepada pihak industri dan pelajar-pelajar yang lain. Semenjak 2022 sehingga kini, PEERS telah berjaya menghasilan lebih daripada 100 penerbitan untuk perkongsian dapatan kajian kepada masyarakat. Lebih membanggakan, penerbitan PEERS adalah dalam bentuk e-prosiding ISBN.

PEERS 2023 untuk julung kalinya mengorak langkah untuk menghasilkan penerbitan jurnal yang berimpak. Sehubungan itu, satu Bengkel Penulisan PEERS’23 telah dianjurkan bertempat di ILD Bandar Enstek. Seramai 19 orang pensyarah selaku penyelia projek dan 19 orang pelajar tahun akhir dari kursus-kursus Sarjana Sains Sistem Komputer (CDCS707), Sarjana Sains Rangkaian Pengkomputeran (CDCS708), Sarjana Sains Sekuriti Siber dan Digital Forensik (CDCS709), Sarjana Sains Sistem Maklumat (Sistem Pintar) (CDCS733) dan Sarjana Sains Teknologi Maklumat (CDCS770) telah terpilih untuk merealisasikan impian ini. Pada sesi pertama program, peserta telah diberi pendedahan mengenai garis panduan penerbitan oleh Prof Madya Ts. Dr Nur Atiqah Sia Abdullah. Manakala Prof Madya Dr. Azlan Ismail telah sudi berkongsi ilmu berkaitan “Tips Menukar Tesis Pelajar kepada Penerbitan Jurnal”.

Hasil kerjasama pensyarah dan pelajar, sebanyak 23 draf pertama jurnal telah berjaya dihasilkan. Peserta turut mengenal pasti jurnal yang berpotensi untuk penerbitan hasil penulisan. Program ini adalah selaras dengan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti kerana ia telah membuka peluang siswazah melihat potensi mereka dalam penulisan akademik serta mengintai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah kedoktoran. Ia juga selaras dengan hasrat Malaysia Madani oleh Kerajaan Malaysia.