Pecutan Terakhir Mengunakan Kaedah Pembelajaran Perakaunan Berasaskan Permainan (AOTB)

Sebagai persediaan untuk para pelajar perakaunan menghadapi Penilaian Akhir dan juga peperiksaan yang bakal berlangsung pada Februari 2023, satu sesi pengukuhan bagi kursus ACC 106 (Introduction to Accounting) telah diadakan bertempat di bilik kuliah, UiTM Pahang, Kampus Jengka. Kaedah pengajaran bagi sesi pengukuhan ini menggunakan salah satu produk inovasi dari Fakulti Perakaunan iaitu Accounting on the Block (AOTB).

Sesi ini diketuai oleh Puan Norlaila binti Md Din dan dibantu oleh pensyarah-pensyarah Perakaunan yang lain sebagai fasilitator iaitu Norlaily Asnawi binti Sulaiman, Salehah Zafirah binti Zulkepli, Norlinda binti Zainal Abdul, Iliya Dayini binti Imran dan Arina Nabilah binti Abd. Latif untuk memastikan sesi berjalan dengan lancar.

Produk inovasi ini dapat membantu para pelajar yang mengambil kursus Perakaunan untuk lebih mudah memahami format penyediaan penyata kewangan iaitu Penyata Untung atau Rugi dan Penyata Kedudukan Kewangan. Kaedah pembelajaran interaktif ini menggabungkan unsur permainan dalam pembelajaran. Kaedah pengekodan warna berbeza diterapkan di dalam AOTB ini untuk membantu pelajar membezakan item dalam imbangan duga dan pelarasan. Ini menjadikan para pelajar lebih tertarik dan mudah untuk memahami serta menghafal format tersebut secara tidak langsung semasa bermain.

Hasil tinjauan selepas sesi mendapati kebanyakan pelajar memberikan maklumbalas yang sangat positif dan ada peningkatan pengetahuan tentang tajuk tersebut berbanding semasa pembelajaran konvensional di dalam bilik kuliah.

Secara tidak langsung, ini telah membantu Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dalam menyahut saranan negara untuk mencapai Sustainable Development Goals (SDG) yang keempat iaitu SDG4: Pendidikan Berkualiti. Sebagai makluman, SDG juga dikenali sebagai Matlamat Pembangunan Lestari. SDG menggariskan 17 matlamat yang ingin dicapai menjelang tahun 2030. SDG ini menangani cabaran global yang kita hadapi, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemerosotan alam sekitar, keamanan dan keadilan. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang komited dengan matlamat ini dan telah mengambil langkah-langkah untuk menerapkan strategi-strategi SDG.