Pasukan UiTM Bawa Pulang Hadiah Tunai RM 11,000 Dalam Pertandingan Keselamatan Siber

Pasukan UiTM, BUJ4NG menang bergaya apabila berjaya mendapat tempat kedua dan juga menerima Anugerah Khas dalam pertandingan CYDES (The Cyber Defence & Security Exhibition and Conference) 2023 Capture The Flags War Zone anjuran Agensi Keselamatan Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara di MITEC, Kuala Lumpur.

Kumpulan BUJ4NG yang terdiri dari pelajar Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 11,000 (Tempat kedua – RM 8000, Anugerah Khas – RM3000). BUJ4NG menerima Anugerah Khas kerana telah berjaya menjawab soalan yang paling sukar dalam jangkamasa yang terpantas.

Kumpulan BUJ4NG yang juga merupakan ahli Kelab Cyberheroes UiTM telah berentap bersama 9 pasukan lain. BUJ4NG terdiri daripada dua orang pelajar Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Rangkaian Komputer, iaitu Amirul Hakim bin Mohd Yusri dan Abdullah Al Baihaqi Bin Adham; seorang pelajar Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) Data Komunikasi dan Rangkaian, Muhammad Hariz bin Tarmizi; serta Noor Raihan Bin Abdul Rahim, pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian).

Prof. Ts. Dr Haryani Haron, Penolong Naib Canselor KPPIM, melahirkan rasa bangga dan turut menyatakan bahawa kejayaan pelajar adalah satu bukti bahawa UiTM sentiasa mendedahkan pelajarnya kepada teknologi terkini serta kemahiran penting siber raya yang pastinya menjadi nilai tambah ketika di industri nanti.

Menurut penasihat pasukan BUJ4NG yang juga penasihat Kelab Cyberheroes UiTM, Dr Fakariah Hani bt Mohd Ali, pasukan UiTM mengadakan latihan yang intensif bersama pensyarah dan alumni yang pakar dalam bidang keselamatan siber dihujung minggu dan juga malam hari untuk meningkatkan kemahiran setiap ahli pasukan. Mereka mengenalpasti kelemahan, dan cuba membaiki kelemahan tersebut.

CYDES 2023 merupakan konferensi dan pameran yang memfokus kepada pertahanan, keselamatan siber, dan teknologi-teknologi terkini. Di kali kedua penganjuran, acara berprestij ini melibatkan pakar-pakar dunia, dan  teknologi termaju memerangi ancaman siber masa kini dan masa hadapan.