Pada 09 November 2021 satu Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pertanian Negeri Pahang 2021 telah diadakan di Akademi Usahawan Tani Kampung Awah, Maran, Pahang. Program yang berlangsung pada jam 8.00 pagi telah dirasmikan oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Bin Ishak.
Sempena Hari Inovasi tersebut, Encik Adam Bin Zakaria selaku Ketua Projek Inovasi Kelulut UiTM Cawangan Pahang di bawah Penyeliaan Encik Mohamad Amir Shah Bin Yusop telah menerima jemputan sebagai peserta pameran projek inovasi. Jemputan bagi pameran ini adalah rentetan daripada penglibatan beliau dalam pertandingan Inovasi Teknologi Pertanian Tahun 2020 anjuran Jabatan Pertanian Malaysia. Dengan membawa pulang Pingat Emas bagi projek inovasi yang bertajuk “Pengubahsuaian Topping Log Kelulut” dan juga Pingat Perak bagi projek inovasi dengan tajuk “Kaedah Pemotongan Log Kelulut” telah memberi ruang kepada Encik Adam untuk membuat pameran produk inovasi tersebut di hari sambutan ini.
Sebanyak 22 produk inovasi pertanian telah dipamerkan dalam sambutan hari inovasi ini. Antara produk inovasi yang dipameran adalah Sistem IOT Rumah Cendawan, IQF Nangka Ready To Eat, Inovasi Kotak Smart Hive, Inovasi Cantuman Dewasa Durian, Keropok Cendawan Berasaskan Cendawan Tiram, Push Air Mushroom dan banyak lagi.
Sambutan ini dimeriahkan juga dengan aktiviti lain seperti Gimik Perasmian, Penyampaian Hadiah Pertandingan Inovasi, Penyampaian Cenderamata dan Lawatan Tapak Pameran. Program yang berakhir jam 4.00 petang disudahi dengan cabutan bertuah kepada peserta yang hadir. Semoga program yang bermanfaat ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang.