Pameran Fakulti Perakaunan Sempena Ekspo Selangkah Ke UiTM 2023 Peringkat UiTM Cawangan Sabah

26 Mei 2023 : Kota Kinabalu. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Fakulti Perakaunan telah terlibat sempena Ekspo Selangkah ke-UiTM (ESKU) 2023, peringkat UiTM Cawangan Sabah yang telah diadakan pada 20 dan 21 Mei 2023 yang lalu. Ekspo kali ini telah diadakan bertempat di South Atrium, 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu.

Seramai 6 orang pensyarah dan 9 orang pelajar Fakulti Perakaunan telah bertugas secara bergilir di ruang pameran tersebut. Para pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat tentang program perakaunan yang ditawarkan di UiTM Cawangan Sabah selain melihat secara dekat tentang aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh fakulti dan persatuan pelajar, khususnya persatuan The Accountancy Club yang diketuai oleh Saudari Syahirah Mayassin.

Selain daripada itu,ESKU kali ini juga menyediakan pameran daripada fakulti-fakulti lain yang ada di UiTM Cawanagan Sabah seperti Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, dan lain-lain lagi. Ekspo selama dua hari ini turut disajikan dengan persembahan tarian dan ‘busking’, demonstrasi masakan oleh pensyarah dan pelajar daripada Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, pertandingan mewarna kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan, taklimat akademik, dan lain-lain lagi.

Majlis perasmian ekspo ini telah disempurnakan oleh Datuk Dr. Mohd Arifin Bin Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada hari kedua iaitu pada 21 Mei 2023. Liputan program ini boleh didapati melalui https://wartaoriental.com/2023/05/21/uitm-diharap-teruskan-program-program-bermanfaat-kepada-masyarakat/. Adalah diharapkan dengan pameran ini, para pengunjung telah mendapat maklumat yang diperlukan dan membuat pilihan yang tepat dengan memilih UiTM sebagai pilihan No. 1 mereka.