Indonesia, 23 Oktober 2023– Jabatan Pendidikan Sains, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah berjaya melaksanakan program pengantarabangsaan melalui ‘Outbound International Visiting Scholar Program UNNES-UNY-UiTM’ yang melibatkan kolaborasi antara Universitas Negeri Semarang (UNNES) dan Universitas Negeri Yogyakarta (UNY) di Indonesia. Program pengantarabangsaan ini bermula dari 23 hingga 27 Oktober 2023 dan diketuai oleh Dekan Fakulti Pendidikan, Prof. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris. Turut bersama adalah enam orang pensyarah daripada Jabatan Pendidikan Sains iaitu En. Mohamad Hisyam Ismail (Pengarah Program ‘Outbound International Visiting Scholar Program UNNES-UNY-UiTM’), Prof. Dr. Nabilah Abdullah (Pengarah Pusat Kepimpinan Akademik, ILD), En. Muhamad Furkan Mat Salleh (Koordinator Program Pendidikan Sains), Dr. Nurshamsida Md Shamsudin, Dr. Al’ Aina Yuhainis Firus Khan dan Pn. Zulinda Ayu Zulkipli. Kunjungan delegasi UiTM ke UNNES dan UNY membawa beberapa tujuan utama seperti berikut:
- Mengukuhkan jaringan kolaborasi sedia ada melalui perjanjian persefahaman (MoU) antara Jabatan Pendidikan Sains, Fakulti Pendidikan, UiTM dengan Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), UNNES dan UNY melalui aktiviti penyelidikan bersama (geran padanan) dan sumbangan kepakaran pensyarah (penceramah ucaptama konferensi, aktiviti syarahan tamu, jurulatih bengkel STEM dan ahli panel forum STEM).
- Meneroka jaringan kolaborasi baharu dengan universitas lain di Indonesia serta memperkembangkan bakat dan sumbangan kepakaran pensyarah Jabatan Pendidikan Sains di peringkat antarabangsa.
- Memperbanyakkan aktiviti dan program akademik di luar negara melalui kepakaran yang ada demi menaikkan nama Fakulti Pendidikan, UiTM serta ‘visibility’ UiTM di peringkat antarabangsa.
Penglibatan dan pencapaian hasil delegasi UiTM sepanjang berada di UNNES dan UNY termasuklah program Forum STEM UNNES-UiTM, aktiviti syarahan tamu pensyarah atau ‘Guest Lecture’ di UNNES dan UNY, ‘10th International Conference on Mathematics and Science Education‘ (ICMSE 2023) di UNNES dan ‘Integrated STEM Education Workshop‘ yang berlangsung di UNNES dan UNY. Program rasmi pertama dimulakan dengan Forum STEM bagi mengupas topik berkaitan ‘STEM Leadership & Policy in Malaysia Context‘ oleh Prof. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris dan Prof. Dr. Nabilah Abdullah. Seterusnya, program melibatkan Syarahan Tamu atau ‘Guest Lecture‘ oleh barisan pensyarah UiTM. Disertakan 3 topik syarahan dan aktiviti bengkel oleh barisan pensyarah yang terlibat bersama mahasiswa dan pensyarah UNNES dan UNY.
- ‘Empowering Future STEM Educators: Innovative Strategies for Effective STEM Teaching‘ oleh Prof. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, En. Mohamad Hisyam Ismail & En. Muhamad Furkan Mat Salleh
- ‘STEM Initiatives for an Engaging Classroom‘ oleh Prof. Dr. Nabilah Abdullah & Dr. Nurshamsida Md Shamsudin
- ‘Frontiers in Molecular Biology: Recent Research Advancements and Future Horizons‘ oleh Dr. Al’ Aina Yuhainis Firus Khan & Pn. Zulinda Ayu Zulkipli
- ‘Crafting Minds: Empowering Integrated STEM Education through Immersive Minecraft Learning‘ oleh Dr. Nurshamsida Md Shamsudin, Prof. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, En. Mohamad Hisyam Ismail & En. Muhamad Furkan Mat Salleh
Peluang kerjasama baharu juga diteroka melalui aktiviti geran padanan, pengajaran kolaboratif merentasi dua universiti, kerjasama penyelidikan, penerbitan serta potensi mobiliti staf dan pelajar yang akan dilaksanakan pada semester akan datang. Sewaktu konferensi antarabangsa ICMSE 2023, Dekan Fakulti Pendidikan, UiTM iaitu Prof. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris telah terpilih sebagai salah seorang pemberi ucaptama bagi mewakili negara Malaysia. Beliau menyampaikan ucaptama konferensi bertajuk ‘Education for Sustainable Development in Teacher Education‘. Pemberi ucaptama dari negara lain adalah Dr. Kristof Fenyvesi dari University of Jyväskylä (Finland), Prof. Madya Dr. Nguyen Van Bien (Vietnam) dan Dr. Naif Mastoor Alsulami (Arab Saudi).
Hasil daripada pertemuan dan perbincangan dua hala antara UNNES-UiTM dan UNY-UiTM telah membawa kepada perjanjian kerjasama baharu melalui ‘Implementation Agreement (IA)’ oleh kedua-dua dekan FMIPA (UNNES dan UNY) serta Fakulti Pendidikan, UiTM bersaksikan delegasi pensyarah yang hadir pada hari tersebut. Diharapkan kerjasama yang terjalin antara universiti di peringkat antarabangsa ini mampu menjadi tonggak utama bagi mencapai kemajuan dalam bidang Pendidikan Sains serta Pendidikan STEM selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui laporan Bernama pada 26 Jun 2023 yang mahu lebih banyak peranan dimainkan oleh pihak universiti dan kementerian bagi menyuntik minat pelajar dalam bidang yang dianggap kritikal pada masa kini.