ORANG ASLI KAMPUNG KLEWANG ROYAL BELUM TELAH MENERIMA LOJI RAWATAN AIR MINI

Hasrat penduduk orang asli di Kampung Klewang, Tasik Temenggor Royal Belum, Perak untuk mendapat air terawat telah tercapai apabila pasukan penyelidik UiTM berjaya memasang loji rawatan air mini di kampung tersebut.

Projek pemasangan loji penapis air mini ini merupakan hasil penyelidikan bersama daripada penyelidik dari UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah dengan Pengajian Kejuruteraan Kimia, UiTM Shah Alam. Sistem penapisan air mini berasaskan pasir ini untuk kegunaan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Jahai di Kampung Klewang Tasik Temenggor, Royal Belum. Projek penyelidikan ini telah dibiayai menggunakan geran dalaman UiTM dan My Starfish Foundation dengan kerjasama pihak JAKOA dan Perbadanan Taman Negeri Perak.

Inisiatif menyediakan penapisan air mini berasaskan pasir adalah untuk merawat sumber air dari bukit bagi menyediakan bekalan bersih ke perkampungan mereka. Dengan inisiatif projek ini, ia akan meningkatkan tahap kebersihan air (daripada air Kelas III kepada Kelas II) yang diperolehi dari bukit seterusnya lebih selamat untuk digunakan bagi minuman dan kegunaan harian mereka.

Bagi projek rintis ini, satu unit penapis air mini berkapasiti 300 liter yang dapat menampung kira-kira 200-250 penduduk telah dipasang di Kampung Klewang. Sampel air yang dirawat ini telah diambil sebanyak 3 kali bagi tujuan analisa kualiti airnya dan pemantauan terhadap loji rawatan air ini akan dilakukan selama 4 bulan seterusnya. Hasil kajian ini turut mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 iaitu kesihatan yang baik dan kesejahteraan, SDG 6 iaitu air bersih dan sanitasi, SDG 11 iaitu bandar dan komuniti yang mampan, serta SDG 15 iaitu kehidupan di atas darat.

Turut hadir semasa pemasangan Loji Penapis Air Mini ini ialah Pegawai Taman Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak, barisan penyelidik dari UiTM, serta Tok Batin Orang Asli Kampung Klewang, Tasik Temenggor Royal Belum, Perak.

Posted Under