KEJAYAAN 5 PELAJAR PROGRAM PRA DIPLOMA UiTM CAWANGAN PERAK MEMPEROLEHI CGPA 4.0 BAGI PEPERIKSAAN JULAI 2023

SERI ISKANDAR, 12 September 2023 – Seramai 35 pelajar program pra diploma UiTM Cawangan Perak telah menduduki peperiksaan akhir pada Julai 2023. Hampir 92 peratus pelajar telah memperolehi CGPA 3.5 dan ke atas. Lima pelajar telah mencatat keputusan cemerlang dengan memperolehi CGPA, 4.0. Pelajar yang cemerlang itu ialah NUR QUMAIRAH BINTI SABTU, NUR ALEEYA NAJIHA BINTI FAIZAL, PUTRA ADAM SYAFIQ BIN JAYA SYAHPUTRA, SHAMSULFITRI BIN SHAMSULKAMAL dan MUHAMAD FIKRI BIN AZMAN.

Dalam temubual dengan Shamsulfitri yang juga ketua pelajar bagi program BA002/003 Sesi Mac 2024, beliau menyatakan amat bersyukur kerana tidak menyangka akan memperolehi gred A dalam kesemua matapelajaran yang diambil, memandangkan keputusan Matematik SPM beliau hanyalah gred E. Kejayaan ini banyak didorong oleh persekitaran pembelajaran yang positif dari rakan-rakan sekelas dan para pensyarah yang banyak membantu beliau semasa proses pembelajaran berlangsung. Ditambah lagi dengan usaha dari Unit Pra Pendidikan Tinggi yang bertungkus lumus membuat pelbagai strategi bagi meningkatkan motivasi diri dan prestasi akademik pelajar. Dua program yang amat memberikan impak yang besar kepada beliau adalah Gerak Gempur Peperiksaan Akhir dan Jejak prestasi. Setiap kali Program Jejak Prestasi diadakan hati beliau akan berdebar-debar kerana koordinator program akan membentangkan prestasi akademik setiap pelajar bagi minggu perkuliahan yang sedang dijalani. Namun, program ini telah memberikan dorongan yang besar kepadanya untuk meningkatkan keyakinan diri dan semangat dalam usaha untuk meningkatkan prestasi akademiknya, terutamanya dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris, setanding dengan rakan-rakan yang lain.

Memetik kata-kata terakhir beliau “ berbanyak-banyak terima kasih kepada program Pra Pendidikan Tinggi yang telah memberi peluang kedua buat saya. Walaupun keputusan SPM saya tidak cemerlang, namun melalui program ini saya diberi peluang mengubah nasib diri untuk cemerlang dalam akademik sepertimana kawan-kawan yang lain. Insyaallah saya akan terus berjuang dan berusaha untuk mengekalkan momentum untuk terus berjaya. Bagi pensyarah-pensyarah yang saya kasihi, Puan Zarina, Pn Hafini, Dr Amalina,Dr Shatari, Pn Wani, En Nadzri, Ustazah Nisa’, Pn Jufiza, Miss Najah dan Miss Shahirah. Tanpa sokongan anda kejayaan ini tidak akan saya miliki. Jasa baik kalian semua, tidak akan saya lupa. Moga lebih banyak pelajar seperti saya akan dilahirkan dalam program ini, “from zero to hero”, terima kasih semua”.