Nuzul Al-Quran 2021 di InQKA dalam Suasana Sederhana dan Patuh SOP

28 April 2021 – Nuzul al-Quran merupakan hari untuk memperingati peristiwa penurunan kitab suci al-Quran. Bagi mengenangkan peristiwa tersebut, Kelab Kebajikan InQKA telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Bilik Mesyuarat InQKA bermula jam 2.30 hingga 4.30 petang.

Para peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar latihan industri mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang majlis berlangsung.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Prof Madya Ir Ts Dr Nik Rosli Abdullah. Antara intipati ucapan beliau ialah bertadarus amat digalakkan dalam bulan Ramadan yang bukan semata-mata untuk mengkhatam Al-Quran, tetapi untuk menghayati dan mengambil pengajaran dari kandungan ayat suci tersebut. Dr Nik Rosli yang mengetuai bacaan doa dan bacaan surah Al-Quran yang terpilih, turut memberi sumbangan kepada anak-anak staf InQKA yang berusia bawah 12 tahun.

Majlis Khatam Al-Quran InQKA 2021 berakhir dengan pengagihan juadah berbuka puasa untuk semua warga InQKA. Semoga sambutan Nuzul Al-Quran pada tahun ini memberi manfaat dan kebaikan kepada semua warga InQKA.