‘AdminUS’ UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub anjur Program Ukhwah Ramadhan

Administrative United Students Society (AdminUS), Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub telah menganjurkan program ‘Ukhwah Ramadan: Menyemai Kasih Sayang pada 23 April 2021 yang lalu. Program berbentuk kesukarelawan ini dilaksanakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub serta ingin berkongsi kegembiraan berbuka puasa dalam kalangan mahasiswa. Selain itu, program ini juga turut diisi dengan pemindahan ilmu (knowledge transfer) berkaitan kesedaran dari sudut penjagaan kebersihan, menjaga hubungan silaturahim sesama insan dan juga konsep bersedekah di bulan Ramadhan.

Menurut Presiden AdminUS, Muhammad Danial Che Ahmad, program Ukhwah Ramadhan: Menyemai Kasih Sayang ini merupakan satu bentuk khidmat komuniti yang melibatkan mahasiswa kepada mahasiswa dalam memberikan kesedaran serta memupuk kasih sayang dalam kalangan komuniti mahasiswa UiTM Kampus Raub. Beliau turut mengharapkan agar program ini juga akan dapat meringankan beban para mahasiswa untuk berbuka puasa dengan agihan makanan yang diberikan. Pengarah program Ukhwah Ramadhan, Mohamad Faiz Mohamad Fuad pula menjelaskan bahawa program ini merupakan inisiatif AdminUS untuk melatih dan membentuk mahasiswa dalam bidang kesukarelawan dengan mengambil kesempatan melakukan kebajikan di bulan Ramadhan.

Program yang memfokuskan kepada khidmat komuniti ini telah mengagihkan sebanyak 75 bungkusan makanan kepada semua mahasiswa UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Selain itu ia turut bertujuan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari 2 (SDG 2) iaitu mencapai kelaparan sifar dengan agihan makanan untuk berbuka puasa. Disamping pemberian makanan, para sukarelawan juga turut melaksanakan aktiviti 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dengan mengumpulkan sampah dan barangan terbuang untuk diguna semula bagi menjaga kebersihan serta mengelakkan pembaziran. Aktiviti 3R ini turut dilaksanakan bagi tujuan untuk mencapai Matlamat Pembanguan Lestari 12 (SDG 12) iaitu berkaitan dengan penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab. Edaran risalah turut diberikan kepada para mahasiswa dalam memberikan kesedaran tentang kepentingan nilai-nilai kasih sayang, kebersihan dan bersedekah.

Tinjauan daripada program yang dilaksanakan, rata-rata para mahasiswa menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan program yang dianjurkan. Walau pun hanya sebuah program ringkas di bulan Ramadhan, namun ia meliputi pelbagai dimensi dari pelbagai aspek kehidupan dalam menyemai kasih sayang sesama insan dan alam sekitar.