Nota Persefahaman (NoU) di antara UiTMCPP dan BPLTV bagi Memperkasa Agenda TVET Negara

  

Setelah hampir dua tahun menjalinkan kerjasama dengan kolej-kolej vokasional di seluruh Malaysia, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang dibawah Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Aras Tinggi (atau High-End TVET Centre) telah berjaya memeterai Nota Persefahaman (NoU) dengan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia. Majlis ringkas ini dianjurkan oleh pihak BPLTV di Putrajaya, yang diketuai oleh Dr. Muhammad Ali Halim bin Sirat (Penolong Pengarah Unit Kerjasama dan Hubungan Industri) dan En. Suraimi Rithwan (Ketua Penolong Pengarah, Sektor Hubungan Industri dan Agensi Luar). Pengurusan tertinggi BPLTV diwakili oleh Tuan Haji Azman bin Haji Adnan (Pengarah) dan Puan Rose Lina Ismail (Ketua Penolong Pengarah UPPTVET). Manakala jemputan daripada UiTMCPP adalah terdiri daripada Profesor Dr. Salmiah Kasolang (Rektor), Profesor Madya Ir. Dr. Ahmad Rashidy Razali (Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik), Dr. Nur’Hidayah Che Ahmat (Koordinator HE-TVET Centre), Profesor Madya Dr. Abdul Hadi, dan Puan Melinda @ Siti Asmah Yunos. Majlis ini dilangsungkan dalam suasana norma baharu bagi menghormati Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang telah diumumkan oleh Kerajaan Malaysia bermula 10hb Jun hingga 31 Ogos 2020.

Nota Persefahaman (NoU) ini bertujuan untuk memantapkan kerjasama pintar dua hala melalui program jaringan antara UiTMCPP dan institusi di bawah BPLTV terutamanya kolej-kolej vokasional di zon Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang. Bentuk kerjasama yang dijalankan oleh kedua-dua belah pihak adalah dari aspek kepimpinan, kecemerlangan dalam bidang kurikulum, dan kemenjadian pelajar. Semasa sesi ucapan, Pengarah BPLTV, Tuan Haji Azman bin Haji Adnan berhasrat agar UiTMCPP dapat membantu dalam pembangunan kompetensi dan kepakaran tenaga pengajar di bawah BPLTV. Rektor UiTMCPP, Profesor Dr. Salmiah Kasolang menyambut baik hasrat tersebut dan bersetuju dengan bentuk kerjasama yang telah dibincangkan demi kesarjanaan akademik dan kecemerlangan anak bangsa dalam memperkasa agenda TVET negara.

1
0