Sesi Perkongsian Reka Bentuk oleh Encik Fariz Azahar

 

Cabaran krisis pandemik Covid-19 yang bermula pada awal tahun 2020 di Malaysia tidak menghalang tenaga pengajar dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) UiTM untuk menjalankan aktiviti pembelajaran yang bersifat kolaboratif. Antaranya ialah ‘Design Sharing Session’ yang telah disampaikan oleh Encik Fariz Azahar pada 29 Jun 2020. Sesi perkongsian rekabentuk secara atas talian ini dihadiri oleh para pelajar program Sarjana Muda Senibina Dalaman UiTM, dan diatur oleh Sarah Rahman, pensyarah Pusat Pengajian Senibina Dalaman (PPSD).

Encik Fariz Azahar merupakan seorang arkitek kelulusan ‘Part II Graduate’ dengan minat mendalam terhadap idea dan intervensi inovatif. Beliau berpengalaman dalam mengendalikan pelbagai projek senibina termasuk perancangan pelan induk bandar, senibina infrastruktur dan bangunan komersial, bereksperimen dan mendokumentasi seni abstrak konseptual, dan juga karya bersifat kemanusiaan. Encik Fariz Azahar menggambarkan dirinya sebagai seorang yang cepat belajar perkara baru, mempunyai kerjasama berpasukan, dan individu yang suka mencabar kemungkinan dan batasan reka bentuk sambil meneroka teori epistemologi bagi meningkatkan kualiti reka bentuk persekitaran. Dengan menerapkan idea reka bentuk kritis dan kemanusiaan secara menyeluruh, beliau percaya bahawa arkitek memainkan peranan yang lebih besar dalam meningkatkan standard bidang kreatif di luar imaginasi. Portfolio digital beliau boleh dilihat dengan lebih lanjut di laman sesawang https://www.farizazahar.com/.

Penglibatan Encik Fariz Azahar dalam sesi perkongsian secara atas talian ini amat dihargai oleh PPSD dan pihak FSPU secara amnya. Ilmu dan pengalaman yang dikongsi ini sedikit sebanyak memberi manfaat berguna kepada para pelajar senibina dalaman UiTM dalam memperhalusi proses reka bentuk mereka dengan lebih bersifat kritis dan kemanusiaan.