Memandangkan minggu ke-5 adalah minggu terakhir pelajar di kampus sebelum pulang ke rumah untuk cuti pertengahan semester/cuti khas perayaan, warga Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Johor telah mengambil kesempatan untuk berkumpul dan meraikan para pelajar LG120.
Acara ini merupakan cetusan idea Ketua Pusat Pengajian APB, Puan Haryati Ahmad, untuk merapatkan silaturrahim sesama warga APB dan dijayakan oleh Jawatankuasa Induk LG120 serta Penasihat Akademik.
Para pelajar pula tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan rakan-rakan terutamanya dari semester yang berbeza memandangkan mereka lebih banyak berhubung dengan rakan sekelas sahaja sebelum ini. Sesi “kulim” atau kuliah lima minit turut disampaikan oleh Ustaz Syazali Effendi A. Wahab kepada pelajar-pelajar yang beragama Islam.
Pengacara majlis mengumumkan sebanyak 100 pek Nasi Arab disediakan sebagai juadah berbuka untuk para pelajar dan pensyarah APB. Turut menambahkan kemeriahan acara ini adalah pek keceriaan yang disediakan oleh pensyarah Puan Siti Zarikh Sofiah dan pek kurma oleh Pn Puteri Nur Hidayah serta Cik Sofwah. Riak muka jelas mempamerkan kegembiraan para pelajar tatkala mendengar pengumuman ini.
Diharapkan program ini dapat meningkatkan lagi keharmonian dalam kalangan pelajar dan pensyarah program LG120 tanpa mengira agama.