MPP EID FIESTA: MEMPERKASA TRADISI HARI RAYA DALAM KALANGAN PEMIMPIN PELAJAR UiTM SHAH ALAM

SHAH ALAM, 30 APRIL 2024 – Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan program MPP Eid Fiesta sebagai sebahagian daripada Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara pemimpin pelajar dan wakil-wakil pelajar di UiTM Shah Alam sambil menyambut bulan mulia, iaitu bulan Syawal. Selain itu, acara ini turut bertujuan untuk merapatkan jurang antara Majlis Perwakilan Pelajar dan pelajar UiTM itu sendiri.

Dewan Agung Tuanku Canselor dipenuhi lebih dari 1000 pemimpin pelajar dari Jawatankuasa Perwakilan Kolej, Sekretariat Mahasiswa Fakulti, dan kelab-kelab dalaman yang aktif di bawah naungan Bahagian Hal Ehwal Pelajar. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusuf (Timbalan Perdana Menteri) turut hadir sebagai perasmi tetamu kehormat bagi memeriahkan lagi kehangatan majlis tersebut. Turut serta dalam majlis tersebut adalah Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Timbalan-Timbalan Naib Canselor, dan kakitangan UiTM.

Pada kesempatan tersebut, inisiatif untuk membantu asnaf dan Orang Kurang Upaya (OKU) juga dijalankan dengan sumbangan diserahkan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusuf, Timbalan Perdana Menteri. Langkah ini selaras dengan agenda Majlis Perwakilan Pelajar untuk memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan bantuan. Prinsip “memberi lebih baik daripada menerima” menjadi asas dalam usaha Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam.

Program ini turut menampilkan pelbagai hidangan dan menu raya serta persembahan seni oleh penggiat seni hasil pendidikan UiTM. Semua ini adalah sebahagian daripada usaha Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam Sesi 2023/2024 untuk mengeratkan ukhuwah sesama umat Islam dalam bulan yang penuh keberkatan ini. Suasana kegembiraan dan kehangatan menyelubungi seluruh majlis, menambah keindahan pada perayaan Hari Raya Aidilfitri di kalangan mahasiswa UiTM Shah Alam dan pemimpin pelajar yang turut menyertai majlis tersebut.