Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), telah memeterai suatu memorandum persefahaman (MoU) dengan Brainy Bunch Sdn. Bhd. pada 21 Mei 2020 di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM Shah Alam. Pada majlis tersebut, UiTM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim manakala Brainy Bunch Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, En. Mohd Fadzil Hashim. MoU ini akan berkuat kuasa selama tiga (3) tahun dan tempohnya boleh dilanjutkan untuk satu tempoh yang dipersetujui secara bertulis oleh kedua-dua pihak. Perjanjian ini disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi Brainy Bunch Sdn Bhd, Pn Efizah Mohtar Rasali.
Antara persetujuan persefahaman ini adalah menjalinkan rakan strategik dalam membangunkan silabus dan kursus pendidikan jasmani dan ko-kurikulum di semua sekolah Brainy Bunch. Pihak FSR bersetuju untuk membantu perkongsian kepakaran bagi aktiviti yang berkaitan senaman suaian fizikal (pengendalian gimnasium) di peringkat sekolah. Selain itu, pihak FSR juga akan membantu perkongsian kepakaran berkaitan pembangunan modal insan menerusi aktiviti fizikal, sukan, permainan dan rekreasi.