Virtual Tadarus Al-Quran

SHAH ALAM – Dalam menyambut kemuliaan dan keistimewaan Bulan Ramadan, ternyata tahun ini bertambah lagi istimewa kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang secara tidak langsung  dipanjangkan sehingga 9 Jun iaitu termasuk sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, mengubah norma umat Islam dalam menyambut Ramadan yang tiba setahun sekali. Namun, bagi memastikan amalan sunat Ramadan diteruskan, barisan pengurusan kolej dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Perindu telah menganjurkan aktiviti Virtual Tadarus Al-Quran bagi warga Kolej Perindu sama ada yang masih menetap di kolej atau sudah kembali ke  kampung halaman masing-masing.  Bersesuaian juga dengan arahan “Penjarakan Sosial” yang dikeluarkan oleh kerajaan, akitiviti ini dilaksanakan secara maya (virtual) bagi mengelakkan individu bersemuka antara satu sama lain secara fizikal.

Aktiviti ini berlangsung sepanjang Bulan Ramadan bermula 24/4/2020 sehingga 23/5/2020 dengan penyertaan peserta seramai 70 orang warga Kolej Perindu dan 17 orang JPK Kolej Perindu di kediaman masing-masing. Aktiviti ini terbahagi kepada 10 kumpulan yang mana setiap kumpulan mempunyai  seorang ketua yang dipilih daripada perbincangan sesama ahli kumpulan. Setiap kumpulan diberikan juzuk Al-Quran yang berlainan setiap hari dan mereka perlu menghabiskan bacaan juzuk yang diberi pada hari tersebut. Aktiviti ini berlangsung bermula awal bulan Ramadan,  jadi setiap kumpulan akan khatamkan Al-Quran apabila berakhirnya bulan Ramadan.

Pengarah aktiviti, saudara JPK Aiman Farhan dan Pengurus aktiviti, saudara JPK Firdaus ditugaskan bagi memantau setiap kumpulan untuk sentiasa mengemaskinikan pembacaan dengan juzuk baharu setiap hari dan memastikan tiada masalah teknikal dalam setiap kumpulan. Kaedah yang digunakan untuk bacaan juzuk oleh setiap kumpulan berbeza mengikut kesesuaian ahli-ahli kumpulan tersebut. Antaranya ialah menerusi aplikasi Google Meet, Zoom dan juga WhatsApp.

Objektif utama pelaksanaan aktiviti ini adalah untuk mengisi masa lapang pelajar melalui aktiviti keagamaan dan meneruskan amalan sunat terutamanya di bulan Ramadan. Bagi umat Islam, mereka percaya bahawa dengan aktiviti sebegini  dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dan menambah pahala yang berlipat ganda di samping dapat mengkhatamkan Al-Quran pada bulan Ramadan pada tahun ini.

Aktiviti sebegini  diharapkan dapat diteruskan pada bulan Ramadan tahun hadapan bagi memastikan amalan sunat ini dapat dilaksanakan bersama oleh warga Kolej Perindu dengan lebih meriah lagi.

0
0