EDU Reach Webinar Series Fakulti Pendidikan Fokus Peningkatan Kualiti Tugasan Akademik Pelajar UiTM

Pada 15 Mei 2020 yang lalu, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, telah menganjurkan EDU Reach Webinar Series dengan mengetengahkan Prof. Madya Dr. Siti Maftuhah Damio sebagai penceramah pertama siri berkenaan. Prof. Madya Dr. Siti Maftuhah telah menyentuh topik The Mechanics of Academic Writing dengan pengisian yang memfokuskan kepada penambahbaikan kualiti kerja akademik para pelajar UiTM.

Siri webinar yang disiarkan melalui platform Google Meet dan live stream ini padat dengan panduan serta tips praktikal yang boleh digunakan oleh pelajar untuk meningkatkan kualiti tugasan mereka. Menggunakan pendekatan umum kepada khusus, Prof. Madya Dr. Siti Maftuhah menyentuh aspek serta komponen penting berkaitan tugasan akademik sebelum mendalami dengan lebih komprehensif teknik dan strategi penghasilan paragraf dan kandungan ayat yang berkesan serta berimpak. Antara lain, penceramah turut berkongsi tip mengelakkan plagiarisme, serta penggunaan tatabahasa dan tanda baca yang berkesan.

Prof. Madya Dr. Siti Maftuhah Damio merupakan pensyarah di Jabatan Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua, Fakulti Pendidikan. Rakaman sesi webinar serta slaid pembentangan yang digunakan boleh dimuat turun daripada laman web Fakulti Pendidikan: https://education.uitm.edu.my