TAWAU, 22 NOVEMBER 2021 (ISNIN) : Misi pencarian peserta di kalangan pelajar Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau untuk menyertai pertandingan PPT National Virtual Innovation Competition (PPTNVIC) 2022 telah bermula. Sehubungan itu, satu sesi webinar berkaitan syarat dan terma pertandingan telah disampaikan oleh Koordinator Kampus, Tuan Haji Muliyadi Haji Guliling dan Encik Jemat Julaihi@Basri selaku moderator. Seramai 66 pelajar dan 7 pensyarah yang terlibat dalam webinar yang diadakan secara atas talian melalui platform Google Meet pada 22 November 2021.
PPTNVIC 2022 merupakan aktiviti anjuran Pejabat Program PPT UiTM yang akan diadakan pada 3 hingga 14 Januari 2022. Buat julung kalinya, pertandingan inovasi ini akan diadakan secara maya dan penyertaan adalah terbuka kepada semua pelajar program Pra Diploma di seluruh cawangan UiTM. Objektif PPTNVIC 2022 ialah untuk memberikan peluang kepada para peserta menunjukkan daya kreativiti menghasilkan e-content berdasarkan empat kategori iaitu Online Teaching & Learning Strategies, STEM Education, Education Gaming dan Virtual Online Laboratories. Para pelajar dan pensyarah dibenarkan membentuk satu kumpulan yang terdiri daripada lima ahli. Pensyarah juga akan berperanan sebagai fasilitator projek e-content dalam kumpulan tersebut.
Hasil maklum balas yang diterima daripada Nurul Syahadah binti Kamal, pelajar Pra Diploma (Sains) berkaitan sesi webinar ini adalah sangat positif dan memberangsangkan. “Daripada program pagi tadi, saya memperolehi maklumat tentang PPTNVIC 2022. Program tersebut akan melibatkan pelajar serta pensyarah, aktiviti secara kumpulan akan dapat merapatkan silaturahhim antara pelajar dan pensyarah walaupun secara maya. Program juga ada hadiah. Kalau menang, boleh dijadikan sebagai kenangan dan pengalaman kepada kami untuk memberi motivasi serta konsisten dalam pembelajaran”.
Inisiatif yang diambil oleh pihak Pejabat Program PPT UiTM adalah sejajar dengan usaha pemerkasaan pendidikan berkualiti. Pendidikan berkualiti bukan sahaja memfokuskan terhadap isi kandungan setiap kursus yang diambil oleh pelajar, tetapi turut dilihat dengan lebih mendalam mengenai keberkesanan sesuatu kursus terhadap pelajar itu sendiri. Dengan adanya sesi webinar ini, diharapkan lebih ramai pelajar dan juga pensyarah akan memberikan komitmen dalam menjayakan PPTNVIC 2022.