Minggu Aspirasi Budaya (MAYA) 2023, UiTM Cawangan Melaka

Kesedaran masyarakat Malaysia terhadap warisan budaya adalah kunci penting untuk mengelakkan warisan kita tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Kesedaran ini mencipta kefahaman akan keindahan dan keunikan warisan budaya, mendorong pemeliharaan, dan memastikan warisan tersebut tidak dilupakan, terutama kepada golongan muda masa kini.

Banyak agensi-agensi terutamanya di sektor awam acapkali membuat program dan aktiviti kebudayaan sebagai langkah mengekalkan warisan turun temurun budaya di Malaysia. Dalam usaha mempromosikan kepelbagaian seni warisan budaya dan mewarisi nilai-nilai tradisional, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka melalui Kelab Warisan Budaya (KWB) menyahut seruan untuk menganjurkan program yang dinamakan sebagai Minggu Aspirasi Budaya. Program ini diadakan saban tahun dan ianya berlangsung selama empat hari melibatkan para pelajar dari kampus tersebut. Program ini merupakan salah satu platform yang terbaik untuk para pelajar mendedahkan diri dengan budaya masyarakat Malaysia serta menonjolkan bakat seni mereka yang terpendam.

Minggu Aspirasi Budaya, atau lebih dikenali sebagai MAYA, merupakan program tahunan yang sentiasa dinanti – nantikan oleh warga kampus telah dianjurkan sejak tahun 2015 sehingga kini, di bawah bimbingan dan naungan Encik Mohd Isham Bin Abidin dan Puan Siti Amalina Binti Mohd Yazid yang bertindak sebagai penasihat Kelab Warisan Budaya. Program anjuran KWB ini bertujuan untuk menarik minat para pelajar terhadap kepelbagaian budaya di Malaysia. Dalam masa yang sama, program ini bertujuan untuk mendorong penglibatan aktif dalam pemeliharaan seni warisan budaya melalui kesedaran terhadap kepentingan melestarikan tradisi, seni, dan keunikan budaya di kalangan pelajar serta memberi peluang kepada mereka untuk menterjemah seni warisan budaya ke dalam bentuk-bentuk kreatif baru, merangsang inovasi dan pengembangan seni budaya. Dalam masa yang sama, masih mengekalkan elemen – elemen keaslian seni warisan budaya.

Program MAYA menggabungkan usahasama semua persatuan pelajar UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka iaitu Persatuan Marketing Student Associations (MASA), International Business Club (IBUC), Finance Student Association (FINEST), Human Resource Society (HURES), Bachelor of Office Systems Society (BOSS), dan Hotel and Tourism (HOTOUR). Kategori – kategori yang dipertandingkan dalam program MAYA 2023 adalah nyanyian solo lelaki dan perempuan, nyanyian berkumpulan bertemakan lagu ketuhanan, nyanyian duet (rap), koir berkumpulan bertemakan lagu rakyat dan tarian berkumpulan (tarian rampaian). Kelab Warisan Budaya turut mengadakan kategori Kumpulan Sorakan Terbaik. Pasukan sorak bagi setiap persatuan dinilai melalui tahap kerjasama, dedikasi, dan semangat kesukanan yang ditonjolkan sepanjang program ini berlangsung.

Pada awal penubuhan program Minggu Aspirasi Budaya, program ini kurang mendapat sambutan daripada para pelajar. Namun begitu, pada tahun 2023, program ini telah mendapat sambutan yang maha hebat dengan mencatatkan jumlah penonton yang hadir sehingga melebihi 450 orang, sekaligus mencipta sejarah baharu buat program MAYA dan Kelab Warisan Budaya. Ini merupakan kejayaan yang menakjubkan dan boleh dibanggakan bagi program yang bertema warisan budaya seperti ini.

Dr. Mohd Halim bin Mahphoth, Penolong Rektor UiTM Cawangan Melaka, Kampus Bandaraya Melaka, berpendapat bahawa program Minggu Aspirasi Budaya ini dapat memberi ruang dan peluang kepada para pelajar untuk menonjolkan bakat di samping menaikkan martabat seni warisan budaya dalam kalangan warga UiTM KBM.

Kejayaan Kelab Warisan Budaya dalam mengadakan program Minggu Aspirasi Budaya dapat memberikan impak yang positif kepada semua pihak. Kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada para pelajar dalam memartabatkan seni warisan budaya di Malaysia, selain dapat menyediakan platform kepada para pelajar mengasah bakat kesenian dalam diri mereka. Minggu Aspirasi Budaya adalah sebuah program yang amat membanggakan dan berjaya dalam usaha mengukuhkan seni warisan budaya di UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka. Diharapkan agar program ini sentiasa dijalankan pada setiap tahun dan terus mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para pelajar.