Memperkasakan Kesihatan Masyarakat Melalui Program Pendidikan Kesihatan

8 Januari 2023 – Bertempat di Dewan Serbaguna, Felda Lurah Bilut, Bentong Pahang telah berlangsungnya Program Komuniti Sihat Keluarga Bahagia, satu program khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh pelajar Sarjana Muda Kejururawatan (NHSN8A-ePJJ), Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor yang mengikuti pengajian di bawah Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Professional (iCEPS) UiTM.

Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Rosli bin Md Diah, Pengurus Felda Lurah Bilut dan telah mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi antaranya Jawatankuasa Kampung, Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Rancangan Felda Lurah Bilut; Pejabat Kesihatan Daerah Bentong; Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Daerah Bentong; Kelab Doktor Muda, SK Lurah Bilut dan warga Tabika Kemas Lurah Bilut.

Seramai lebih daripada 350 peserta yang telah menyertai program ini yang terdiri daripada kanak-kanak pra sekolah, pelajar sekolah, golongan muda termasuk ibu hamil, warga emas, dan warga kerja felda. Kebanyakan peserta berpuashati dengan penganjuran program ini terutama aktiviti-aktiviti yang dijalankan menurut kata Encik Md Zulkifli Md Yunus, Ketua Kampung, Felda Lurah Bilut.

Program ini juga memberi peluang kepada pelajar UiTM mengintegrasikan pengetahuan dan kemahiran dalam menyampaikan penjagaan kesihatan secara holistik dengan mengambil kira kepelbagaian budaya, nilai sosial, komunikasi dan pertimbangan etika, menurut kata Puan Fatimah Binti Sham, Pensyarah Kanan Kejururawatan, UiTM Cawangan Selangor. Disamping itu, penganjuran program ini juga dilihat mampu meningkatkan kemahiran sosial, kerja berpasukan dan kebertanggungjawaban pelajar kepada masyarakat, menurut kata Siti Zamilah Binti Abdullah Saidi, Pengarah Program yang juga pelajar Sarjana Muda Kejururawatan (NHSN8A-ePJJ).