Mesyuarat Am Tahunan Planters’ Guild, FPA UiTM Cawangan Pahang

9 Januari 2024 – Kelab pelajar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, Planters’ Guild (PG’s) sesi 2022/2023 telah mengadakan program Mesyuarat Am Tahunan bertempat di Dewan Al-Biruni 1 bagi memperkenalkan barisan ahli jawatankuasa yang baru kepada semua pelajar FPA. Matlamat program ini diadakan adalah untuk memastikan setiap pelajar FPA mengenali barisan kepimpinan PGs yang baru atas dasar PG’s merupakan sebuah platform bagi pelajar FPA untuk mengetengahkan isu-isu pelajar serta berkongsi idea dan kreativiti di dalam fakulti.

Adalah dimaklumkan bahawa pada setiap sesi pengajian, pertukaran ahli jawatankuasa di dalam semua kelab dan persatuan UiTM Cawangan Pahang  akan berlaku. Maka dengan berakhirnya sesi pengajian yang lepas, giliran barisan jawatankuasa kelab PG’s sesi yang baru pula akan merencana dan melaksanakan pelbagai program untuk pembangunan pelajar FPA selain bertanggungjawab bagi menjaga kebajikan dan membantu mengetengahkan suara pelajar kepada pihak fakulti. Tiga objektif utama Mesyuarat Am Tahunan PG’s adalah bagi memperkenalkan barisan jawatankuasa PG’s sesi 2023/2024 kepada semua pelajar FPA, mengeratkan hubungan diantara ahli jawatankuasa baru dengan pelajar FPA, serta memperkukuhkan kepercayaan pelajar FPA terhadap barisan jawatankuasa PG’s 2023/2024.

Program ini telah disertai oleh 350 orang pelajar dan 13 orang pensyarah FPA. Aturcara program dimulai dengan pendaftaran kehadiran pelajar pada pukul 8.15 malam dan diikuti dengan sesi ucapan aluan oleh Dr Mohd Khairi bin Che Lah selaku Ketua Pusat Pengajian (KPP) FPA dan sesi ucapan oleh pensyarah penasihat PG’s. Antara isi kandungan ucapan KPP dan penasihat PG’s adalah berkenaan dengan kepentingan fungsi PG’s kepada pelajar FPA serta galakan supaya pelajar FPA memberi sokongan dan komitmen yang baik kepada kelab. Majlis kemudian diteruskan dengan sesi ucapan oleh Saudara Shahrul Amri bin Che Mok selaku Presiden PG’s sesi 2022/2023 dan penyerahan tugas kepada Saudara Muhammad Aiman bin Zulbaharin selaku Presiden PG’s sesi 2023/2024. Selepas sesi memperkenalkan barisan ahli jawatankuasa PG’s yang baru kepada semua pelajar FPA, satu sesi soal jawab bersama penasihat utama PG’s, Dr Neni Kartini bt Che Ramli turut diadakan. Majlis berakhir sekitar jam 9.30 malam selepas sesi bergambar.

Dengan berakhirnya program ini, PG’s sesi 2023/2024 berharap agar hubungan diantara semua pelajar FPA dengan barisan ahli jawatankuasa yang baru dapat diperkukuhkan. PG’s juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pelajar dan pensyarah FPA atas penglibatan dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.