Mesyuarat Agung Tahunan MISA Kali Ke – 25 telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) 2021, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam dengan matlamat untuk memberi peluang kepada mahasiswa MISA menyerlahkan nilai kepimpinan mereka. Di samping itu , program ini juga mampu memupuk keyakinan diri dan sifat bertanggungjawab para mahasiswa untuk memimpin sebuah organisasi.
Selain itu, program ini juga dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyerlahkan kebolehan mereka untuk memimpin dengan penuh berwibawa di samping mewujudkan semangat berpersatuan dalam kalangan ahli MISA. Program ini telah berlangsung pada 28 Disember 2021 secara atas talian di platform Cisco Webex. Seterusnya, program ini telah disertai oleh 40 Ahli Jawatankuasa termasuklah Majlis Tertinggi MISA, 15 pensyarah dari bahagian pengimejan perubatan dan 200 para mahasiswa.
Program ini yang berlangsung dari jam 10.00 pagi sehingga 1.00 tengah hari ini dimulakan dengan kata – kata aluan dari saudari pengerusi majlis, Farisya Nadirah Binti Azmi dan diteruskan dengan sesi pembentangan laporan MISA sesi 2020/2021 oleh Ahli Majlis Tertinggi MISA. Program ini diteruskan lagi dengan sesi soal jawab mengenai perkara – perkara berbangkit sepanjang sesi 2020/2021. Program ini telah dirasmikan oleh Puan Ann Erynna Lema Thomas Sudin iaitu Ketua Pusat Pengajian Pengimejan Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan.
Di samping itu, pengumuman barisan Majlis Tertinggi MISA Sesi 2021/2022 dan pembubaran barisan Majlis Tertinggi MISA Sesi 2020/2021 merupakan acara kemuncak bagi program ini. Selain itu, program ini juga diserikan dengan tayangan video montaj aktiviti yang telah dijalankan sepanjang sesi 2020/2021.
Program ini telah memberikan impak yang positif kerana ia dapat mewujudkan mahasiswa yang berkualiti dan seimbang. Selain itu, dapat melahirkan komuniti mahasiswa yang cakna mengenai isu – isu semasa serta bersedia mendepani cabaran pada masa akan datang.
Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif dan matlamat yang direncanakan kerana secara tidak langsung ia memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengenali barisan tertinggi yang baharu bagi memimpin sesi 2021/2022.