Siri Webinar Kejuruteraan Awam ke-4 “Non-Destructive Testing (NDT) Applications: Civil and Infrastructure Evaluation”

Unit Jalinan Industri dan Alumni Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA), Kolej Kejuruteraan, UiTM Cawangan Pahang telah mengadakan Siri Program Webinar Kejuruteraan Awam yang ke-4 dengan bertemakan “Non-Destructive Testing (NDT) Applications: Civil and Infrastructure Evaluation” pada 11 Disember 2021. Program webinar ini merupakan sebahagian daripada aktiviti yang telah dirancang hasil daripada kandungan “Letter of Understanding’ (LoU) bagi kolaborasi PKA UiTM Cawangan Pahang bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang.

Seramai hampir 50 orang peserta telah menyertai webinar yang berlangsung selama 3 jam dengan peserta yang terlibat adalah di kalangan para akademik dan pelajar dari institusi pengajian awam dan swasta serta pihak industri. Pihak penganjur telah menjemput dua penceramah pakar bidang, yang pertama daripada Dr. Muhd Norhasri Muhd Sidek dari Institute for Infrastructure Engineering and Sustainable Management (IIESM), UiTM. Beliau telah menyampaikan syarahan selama satu jam dengan tajuk ‘Instrumentation for Structure Integrity Monitoring’. Intipati syarahan beliau merangkumi konsep dan teori serta kaedah dan teknologi yang sesuai dalam pemantauan integriti sesebuah struktur dan infrastruktur.

Sesi yang kedua diteruskan dengan syarahan daripada P.Geol. Jamaludin Othman yang mempunyai pengalaman yang meluas selama hampir 30 tahun di dalam bidang geofizik. Beliau adalah seorang professional geologi yang diiktiraf dan berdaftar di bawah Lembaga Geologi Malaysia yang kini pengasas syarikat perunding di SubMAP Geophysical Services Sdn. Bhd. Tajuk syarahan beliau adalah ‘Geophysical Survey for Site Recognition’ yang memberi tumpuan kepada kaedah dan teknik yang digunapakai dalam menjalankan tinjauan geofizik bagi sesebuah kawasan. Pelbagai jenis peralatan diketengahahkan, antaranya ‘Seismic Method’, ‘Electrical Resistivity Method’ dan ‘Electromagnetic Method’. Beberapa kajian kes yang beliau terlibat secara langsung beserta analisa ringkas juga turut dikongsikan.

Melalui webinar tersebut, para peserta diberi pendedahan kepada pelbagai kaedah yang digunapakai bagi membuat penilaian ujjian tanpa musnah (NDT) yang menyeluruh dan efektif dalam memastikan kualiti serta memanjangkan jangka hayat terhadap struktur dan infrastruktur. Tambahan juga, kaedah NDT dengan peralatan yang berbeza turut digunakan dalam membuat penilaian kepada struktur tanah tanpa membuat sebarang gangguan kepada keadaan asal tanah tersebut. Oleh yang demikian, kaedah NDT amat berfaedah untuk digunapakai dalam membuat penilaian awalan tanpa sebarang gangguan kepada struktur asal.