Penyelidikan di Kampung Pagi Jerantut Pahang


Kampung Pagi merupakan tempat persinggahan untuk penyelidik-penyelidik daripada UiTM serta pengunjung-pengunjung luar yang terdiri daripada dalam dan luar negara untuk ke Taman Negara dan kawasan sekitar. UiTM juga mempunyai Stesen Penyelidikan UiTM-Perhilitan yang terletak di Kuala Keniam, Taman Negara Pahang yang juga menerima kunjungan daripada ramai penyelidik daripada luar dan dalam negara. Bagi merancakkan lagi proses penyelidikan, beberapa orang penyelidik yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM Cawangan Pahang menjalankan kajian mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi pembelajaran murid-murid Sekolah Kebangsaan Kg. Pagi Jerantut Pahang.

Kajian ini dibiayai oleh geran Lestari SDGTriangle@UiTM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nor Azizah M. Yacob bersama ahli-ahli yang lain iaitu Prof. Madya Zulkifli Ab Ghani Hilmi, Salimah Ahmad, Dr. Nor Fadhilah Dzulkifli dan Nik Muhammad Farhan Hakim Nik Badrul Aman. Kajian ini telah bermula pada awal tahun 2020 yang mana perjumpaan bersemuka kali pertama bersama wakil penduduk Kampung Pagi dan guru besar Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi telah diadakan pada September 2020. Namun demikian disebabkan oleh pandemik Covid-19, perbincangan seterusnya hanya dibuat melalui aplikasi WhatsApp dan telefon.

Oleh kerana kekangan keadaan ketika ini, para penyelidik tidak dapat berkunjung ke Kampung Pagi dan pengagihan borang soal selidik kepada penduduk setempat, ibu bapa murid dan guru-guru dijalankan secara atas talian mulai Julai 2021 dan serahan soalan secara bersemuka bagi yang tidak boleh menjawab secara atas talian dilakukan oleh wakil yang telah dilantik iaitu En. Mohd Sukri Mohd Zaid dengan bantuan Tok Empat Kg. Pagi dan guru besar Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi. Manakala bagi murid-murid Sekolah Kebangsaan Kampung Pagi, soalan soal selidik diberikan secara bersemuka dan berperingkat. Ibu bapa juga komited dalam membantu anak-anak mereka menjawab soalan soal selidik yang diberikan.

Proses kutipan data telah hampir selesai sepenuhnya dan proses analisis data sedang dijalankan. Semoga kajian ini dapat membantu murid-murid Sekolah Kampung Pagi untuk meningkatkan pencapaian prestasi murid seterusnya membantu proses pemindahan ilmu di Kampung Pagi terus berkembang. Ini selari dengan hasrat kerajaan dan SDG 4 iaitu memberikan pendidikan yang berkualiti yang sama rata serta meningkatkan peluang pendidikan sepanjang hayat untuk semua.