MERINTIS BIDANG KESIHATAN PERSEKITARAN KEPADA GENERASI PELAPIS: PROGRAM GERAKAN ENVIRONMEN MURID SEKOLAH (GEMS)

PUNCAK ALAM, 22 Jun 2023 – Pendidikan mengenai kesihatan persekitaran adalah aspek penting dalam memupuk kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Dalam usaha untuk melibatkan golongan muda dan memperkenalkan bidang kesihatan persekitaran kepada murid-murid sekolah, satu program Gerakan Environmen Murid Sekolah (GEMS) telah dilancarkan oleh Pusat Pengajian Kesihatan & Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM kampus Puncak Alam dengan usahasama pihak industri serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bertempat di sekolah Kebangsaan Saujana Utama,Sungai Buloh. Program ini bertujuan memberikan pengetahuan asas kepada murid-murid sekolah tentang penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar bagi kesejahteraan masa hadapan.

Program ini akan menjadi program tahunan yang mempunyai tema berbeza setiap tahun. Pada program kali ini, tema yang diangkat adalah “From Waste to Value”. Melalui program ini, murid-murid didedahkan tentang teknik alternatif pengurusan sisa makanan yang boleh diaplikasikan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pusat pelupusan. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah ceramah ringkas berkaitan penghasilan kompos, persembahan multimedia dan permainan ilmiah.

Program dimulakan dengan penerangan tentang pengkomposan sisa makanan menggunakan larva Lalat Tentera Hitam (BSF) oleh Entomal Biotech Sdn Bhd. Penggunaan larva BSF sebagai alternatif dalam pengurusan sisa makanan semakin mendapat perhatian di seluruh dunia. Tindakan ini tidak hanya mengurangkan pembaziran sumber sisa makanan dan pencemaran alam sekitar, tetapi juga dapat memajukan ekonomi setempat melalui penghasilan makanan alternatif untuk ternakan. Larva BSF mengandungi kandungan protein yang tinggi sehingga 40 peratus dan lemak sekitar 32 peratus, menjadikannya sesuai sebagai makanan ternakan, terutamanya untuk ayam dan ikan. Hasil pengkomposannya juga boleh digunakan dalam aktiviti pertanian. Semasa program berjalan, murid -murid dan guru-guru yang terlibat sangat bersemangat kerana diberikan peluang untuk menyentuh dan mengendalikan sendiri larva serta lalat dewasa.

Program diteruskan dengan penjelasan tentang pengkomposan sisa makanan menggunakan teknik Bokashi oleh TT organic Sdn Bhd. Bokashi adalah kaedah pengkomposan yang terkenal yang berasal dari Jepun. Teknik ini melibatkan proses penguraian sisa makanan tanpa kehadiran oksigen. Bahan-bahan yang digunakan dalam teknik Bokashi merupakan hasilan daripada sisa dapur seperti lebihan makanan, sayur-sayuran yang hampir basi, kulit buah, sisa kopi dan teh, serpihan kertas, dan bahan organik lain. Dalam program ini, murid-murid turut diberi pendedahan praktikal mengenai langkah-langkah pengkomposan menggunakan teknik Bokashi dengan bantuan Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran UiTM. Keterujaan para pelajar dapat dilihat melalui penglibatan aktif mereka dalam aktiviti penyediaan campuran Bokashi. Campuran ini kemudiannya ditempatkan di dalam bekas yang tertutup rapat untuk mencegah pengoksidaan dan memastikan persekitaran tanpa oksigen. Bahan ini dibiarkan selama lebih kurang 2 minggu sebelum boleh digunakan. Pengkomposan menggunakan teknik Bokashi dapat menghasilkan baja berkualiti tinggi yang mengandungi nutrien penting bagi tanaman. Ia juga dapat meningkatkan kesuburan tanah dengan meningkatkan kandungan bahan organik dan mikroorganisma yang bermanfaat.

Pengarah Program GEMS, En Mohd Izwan Masngut berkata pelaksanaan program ini diharap akan memberi pemahaman kepada murid-murid sekolah tentang kebaikan pengkomposan dan seterusnya cakna akan isu kesihatan persekitaran. Mereka ini diharap akan menjadi agen perubahan dalam masyarakat tentang isu-isu berkaitan kelestarian alam sekitar.