Forum Design Talk : The Future We Want bersempena World Industrial Design Day (WIDD) 2023

KEDAH, 22 Jun 2023 – Pada 20 Jun 2023, Jabatan Seni Reka Perindustrian KPSK, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah, mengadakan Forum Design Talk bertajuk “The Future We Want” sebagai sebahagian daripada sambutan World Industrial Design Day 2023. Forum tersebut berlangsung secara hybrid, dihadiri oleh 60 orang pelajar dari program Diploma dan Ijazah Seni Reka Perindustrian.

Forum ini bertujuan untuk menjalinkan kerjasama di antara ahli akademia, pengamal industri, dan bakal graduan serta memberi pendedahan kepada pelajar mengenai isu-isu serantau dalam bidang seni reka perindustrian. Acara ini dianjurkan oleh Jabatan Seni Reka Perindustrian dan disertai oleh dua panel terkemuka, Dr Hasnul Azwan Azizan dan Dr Nurul ‘Ayn Ahmad Sayuti dan Pn.Izza Syahida sebagai moderator forum.

Dr Hasnul Azwan Azizan, pakar dalam bidang realiti maya (VR), membincangkan peranan VR dalam explorasi idea. Beliau memperkenalkan konsep penggunaan VR dalam proses reka bentuk produk yang membolehkan pelajar untuk meneroka idea-idea secara lebih interaktif dan kreatif.

Selain itu, Dr Nurul ‘Ayn Ahmad Sayuti, seorang pengkaji posdoktoral, berkongsi pengalamannya dalam bidang seni reka perindustrian. Beliau menyampaikan perjalanan inspiratifnya dan memberikan wawasan kepada pelajar mengenai pelbagai peluang dan cabaran yang ada dalam industri seni reka perindustrian.

Forum Design Talk ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan terhadap pengetahuan, trend, dan relevansi dalam bidang seni reka perindustrian. Mereka juga digalakkan untuk terlibat dalam wacana ilmiah yang selaras dengan perkembangan semasa dalam industri tersebut. Keikutsertaan ahli akademia dan pengamal industri memberikan peluang kepada pelajar untuk berkongsi ilmu dan kemahiran dari pelbagai input yang berasal dari kedua-dua bidang tersebut.

Program ini mewujudkan kolaborasi yang erat antara universiti, ahli akademia, dan pengamal industri, yang akan memberikan manfaat kepada perkembangan industri reka bentuk serantau. Selain itu, ia juga memberi nilai tambah kepada kualiti pendidikan dan projek pelajar Jabatan Seni Reka Perindustrian di UiTM Cawangan Kedah.

Forum Design Talk ini menandakan komitmen Jabatan Seni Reka Perindustrian dalam memperkukuhkan hubungan antara akademia dan industri serta memastikan bahawa pelajar memperoleh pendedahan yang berharga dalam bidang seni reka perindustrian. Universiti UiTM kini menjadi pakar rujuk dan penyebaran ilmu terkini dalam bidang seni reka perindustrian, yang akan memberikan sumbangan dari aspek kepakaran seni reka perindustrian di Malaysia.