Pencarian Ikon Muaddib 2.0: Agen Perubahan Pemantapan Nilaian dan Akhlak

PUNCAK ALAM, 22 Jun 2023 – Tanggal 18 Jun 2023 telah menyaksikan kolaborasi unik di antara Fakulti Pendidikan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) dan Bahagian Zakat, Sedekah & Wakaf (ZAWAF), UiTM di dalam penganjuran perjumpaan Pencarian Ikon Muaddib 2.0: Agen Perubahan Pemantapan Nilaian dan Akhlak yang bertempat di Dewan Kuliah 200 (DK200), UiTM Kampus Puncak Alam. Perjumpaan yang berlangsung selama 3 jam itu telah berjalan dengan lancar melibatkan seramai 25 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan staf dari Fakulti Pendidikan dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM.

Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Pengarah ZAWAF, Profesor Madya Dr. Mohd Ashrof Zaki bin Yaakob. Pihak Fakulti Pendidikan amat berbesar hati apabila beliau sudi turun padang berjumpa dan membekalkan para muaddib dengan kata nasihat tentang kepentingan berdakwah dan bagaimana program Pencarian Ikon Muaddib ini semakin meningkat relevan di waktu kini. Turut sama hadir adalah Dr. Zarizi Ab. Rahman, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan, Encik Mohd Hafriz Abdul Hamid, Penasihat Kelab Ikon Muaddib, Fakulti Pendidikan dan para murabbi yang terdiri daripada staf akademik ACIS.

Menurut Dr. Zarizi Ab. Rahman, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Fakulti Pendidikan merangkap pengerusi program Pencarian Ikon Muaddib 2.0, program ini yang dikembalikan buat kali kedua di tahun 2023 adalah bertujuan untuk menemukan secara bersemuka kesemua peserta, atau lebih dikenali sebagai para muaddib dalam Pencarian Ikon Muaddib 2.0, selepas berjaya menamatkan sesi berguru dengan murabbi masing-masing sepanjang semester Mac – Ogos 2023. Para Muaddib diharuskan untuk mengikuti 11 modul khusus yang telah dibina untuk program Pencarian Ikon Muaddib dimana para muaddib dan para murabbi telah melalui satu pertemuan setiap minggu sepanjang semester yang sedang berlangsung.

Para muaddib bagi Pencarian Ikon Muaddib 2.0 akan meneruskan saki baki pengajian modul Ikon Muaddib mereka sebelum berkumpul semula bersama-sama calon Ikon Muaddib daripada Fakulti Pendidikan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Selangor dan juga calon Ikon Muaddib dari kampus Pahang dan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi pada 7 Julai 2023 dan bakal berentap dalam bahagian akhir Pencarian Ikon Muaddib 2.0 bagi menobatkan para pemenang Ikon Muaddib 2.0.