Menjejak Seni Bina Istana Klasik Melayu

30 Nov. 2023 – Shah Alam; Istana bersinonim dengan kediaman yang diduduki oleh Raja atau Ketua Pemerintah Negara. Apabila disebut sahaja istana, mesti kita akan terbayang saiznya yang begitu luas, ukiran dalaman yang begitu indah dan mempunyai singgah sana Duli Tuanku Raja Pemerintah. Setiap negara mempunyai istana masing-masing walaupun negara tersebut tidak mengamalkan sistem monarki. Namun pada kali ini kita mahu memfokuskan seni bina istana yang pernah di bina oleh nenek moyang kita dahulu supaya masyarakat sekarang berasa kagum dengan seni yang telah dibangunkan.

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu mengundang pakar dalam bidang seni bina Melayu untuk berkongsi dalam Siri ke-16 Bicara Akademia Kursi Institusi Raja-Raja Melayu yang bertajuk “Menjejak Seni Bina Istana Klasik Melayu” yang berlangsung pada 30 November 2023 (Khamis) pada jam 10.00 pagi hingga jam 11.30 pagi. Panel undangan iaitu Sr. Dr. Ismail Maarof merupakan Ketua Unit Pengembangan Ilmu Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA. 

Menurut Dr. Ismail, masalah utama tamadun masyarakat Melayu dan Etnik Alam Melayu yang telah dibangunkan semenajk awal tahun Masihi telah tergugat perkembangannya semenjak kehadiran para penjajah. Para penjajah juga telah memburukkan lagi keadaan apabila mereka cuba untuk menghapuskan pengenalan masyarakat Melayu dan Etnik Alam Melayu disamping memperkenalkan budaya mereka serta membawa kecelaruan seni bina yang melanda Eropah di akhir kurun ke 18 Masihi dengan pendekatan seni bina “eclectism” sebagaimana yang berlaku pada zaman Renaissance. 

Masalah kedua selepasnya kemerdekaan, para cendekiawan yang telah menamatkan pengajian mereka di luar negara telah mengambil peranan untuk membangunkan negara masing-masing termasuk Malaysia sama ada sebagai arkitek, jurutera, pegawai tadbir, ahli politik, usahawan dan sebagainya. Tindakan dan pemikiran mereka yang masih belum mempunyai asas pemikiran dan hala tuju dalam seni bina, telah terbawa-bawa dengan apa yang telah mereka lihat semasa di luar negara di mana telah mengakibatkan berlakunya kesan “internasionalisme” ke atas corak pembangunan seni bina dalam negara.

Terdapat juga falsafah seni bina warisan Melayu yang memaparkan konsep dalaman yang begitu sinonim dengan kehidupan budaya kaum Melayu. Sebagai contoh keadaan ruang dalam rumah warisan Melayu mempunyai Serambi yang menunjukkan sebuah tangga masuk untuk menerima tetamu lelaki, manakala Anjung adalah ruang untuk menerima tetamu lelaki, ruang tidur anak lelaki dan tetamu lelaki serta tempat bergeraknya aktiviti seperti kenduri doa selamat. Selain itu, di kawasan ruang Rumah Ibu dijadikan untuk menerima tetamu kehormat, ruang tidur anak perempuan dan tetamu perempuan dan di sini juga kawasan yang sesuai untuk diadakan kenduri doa selamat serta terletaknya orang sakit serta jenazah. Dalam rumah semestinya mempunyai Bilik yang dijadikan sebagai bilik pengantin dan tempat penyimpanan barang berharga. Bahagian Selang mempunyai tangga masuk untuk menerima tetamu perempuan dan tempat untuk penjemuran serta kawasan permainan kanak-kanak. Kawasan akhir di dalam rumah warisan Melayu ialah Rumah Dapur yang dikhaskan sebagai tempat tidur ibu bapa, ruang memasak, ruang makan dan ruang istirehat keluarga.

Semasa program ini berlangsung, Dr. Ismail juga memaparkan gambar istana-istana lama yang menjadi tempat tinggal bagi Pemerintah Negeri dan kerabat diRaja. Kebanyakannya istana lama kini hanya tinggal tapak sahaja sehingga tapak tersebut menjadi semak oleh kerana tidak dipelihara dengan baik. Antara istana lama yang masih utuh hingga hari ini adalah Istana Satu di Terengganu, Istana Sementara di Bukit Chandan Perak, Istana Sri Menanti di Negeri Sembilan, dan Istana Silinduang Bulan di Sumatera Barat. Tidak lupa juga, Dr. Ismail turut berkongsi peta-peta lama yang mempunyai tanda keberadaan istana-istana terdahulu. 

Akhir sekali, Bicara Akademia Kursi Institusi Raja-Raja Melayu bagi siri ke-16 ini cuba mendedahkan kewujudan istana-istana kerajaan Melayu silam dan membuktikan hubungan diplomatik di wilayah kepulauan ini telah sekian lama wujud. Oleh itu, amat penting bagi kita semua sebagai warganegara Malaysia Hari ini bersyukur dan menghargai tinggalan khazanah warisan seni bina agar menjadi identiti bangsa dan negara.