Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara UiTM dan Beijing Union University (BUU)

 SHAH ALAM , 1 DISEMBER 2023  – UiTM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Beijing Union University (BUU) pada hari ini. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif bagi menyokong matlamat strategik universiti dalam usaha untuk meningkatkan mutu penyelidikan, pembelajaran dan pengajaran di peringkat antarabangsa.

Majlis menandatangani MoU ini telah diadakan di Pejabat Canselori, UiTM Shah Alam oleh Prof. Datuk Dr Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, Naib Canselor UiTM, bersama Ms Zhou Thong, Naib Presiden BUU serta disaksikan oleh Dr Ikhwan Naim Md Nawi, Timbalan Pengarah Akademik, Penyelidikan dan  Inovasi Pusat Asasi UiTM, wakil-wakil UiTM Global dan wakil-wakil pengurusan BUU.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, berkata jalinan kerjasama ini merupakan satu lakaran sejarah yang bermakna bagi UiTM dalam usaha meningkatkan mutu kecemerlangan penyelidikan, pembelajaran dan pengajaran UiTM bersama universiti antarabangsa. Selain itu , melalui jalinan kerjasama ini ianya dapat memacu usaha untuk menjadikan UiTM sebagai universiti yang terkemuka menjelang 2025.

Beliau berharap agar warga UiTM dapat memanfaatkan kepakaran dan pengalaman bersama-sama dengan pihak BUU bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan UiTM setanding dengan universiti terkemuka di dunia menjelang 2025.