MENGENALPASTI DAN MENANGANI ISU-ISU KESIHATAN BANDAR DAN PERANAN KESIHATAN PERSEKITARAN MELALUI PERBINCANGAN KUMPULAN BERFOKUS (FGD)

SETIA ALAM, 24 Jun 2023 – Mahasiswa Sarjana Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam dengan kerjasama Persatuan Kesihatan Environmen Malaysia (MAEH), Pejabat Kesihatan Daerah Sepang dan Integrated Mosquito Research Group (I-MeRGe) telah berjaya menganjurkan program MAEH Urban Health Forum 2023 (MUHF 2023) di Institut Kesihatan Negara, Setia Alam pada 19 dan 20 Jun 2023.

Program ini berbentuk Kumpulan Perbincangan Berfokus atau Focus Group Discussion (FGD) yang melibatkan beberapa ahli panel pengamal kesihatan persekitaran daripada pelbagai agensi mengikut subkepakaran bidang. Forum ini menyediakan ruang dan peluang untuk membincangkan isu-isu kesihatan bandar yang menjadi semakin relevan. Isu kesihatan bandar yang dibincangkan pada forum kali ini adalah tentang strategi kawalan nyamuk di tapak bina, mitigasi banjir dalam bandar, pengurusan sisa pepejal domestik, kepentingan taman dalam bandar dan pengawasan kualiti air minum.

Menurut Penasihat Program, Prof Madya Dr Farah Ayuni Shafie, program ini adalah satu wadah untuk melibatkan pelajar dengan latihan penyelidikan secara akademik di samping memperkasakan kemahiran komunikasi dan kepimpinan dalam menguruskan sesuatu acara. Beliau yakin aktiviti sebegini menjadi nilai tambah kepada pelajar dalam perjalanan kesarjanaan mereka. “Saya ingin menerapkan DNA UiTM kepada semua pelajar melalui penganjuran program berimpak tinggi selari dengan aspirasi graduan UiTM yang holistik” ujar beliau.

Jemputan ahli panel adalah daripada lebih 25 wakil daripada sektor awam, sektor swasta, badan bukan kerajaan dan ahli akademik termasuklah SWCorp, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Bahagian Perkhidmatan Kejuruteran Kementerian Kesihatan Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Majlis Perbandaran Segamat, Pejabat Kesihatan Daerah Segamat, Institut Kesihatan Umum, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jabatan Pengairan Dan Saliran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Forum ini telah dirasmikan oleh Pegawai Kesihatan Daerah Sepang, Yang Berusaha Dr Rusilawati Binti Jaudin. Hasil perbincangan forum ini akan diterbitkan di Jurnal Kesihatan Persekitaran MAEH. Presiden MAEH, Megat Azman Megat Mokhtar, yang juga merupakan seorang ahli akademik di UiTM, sangat mengharapkan agar pihak pembuat dasar dapat menghubungi MAEH untuk memperhalusi aspek teknikal yang dibahas dalam FGD ini dengan lebih serius dan dalam ruang lingkup yang lebih luas.